SEREMBAN: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC) Nidzam Jamil mengakui prestasi pasukan itu semakin menurun sehingga mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong.
Namun pengendali berusia 46 tahun itu menegaskan ia bukan petanda kegagalannya dalam mengendalikan pasukan berkenaan.
Sebaliknya, katanya, situasi berkenaan sebahagian daripada proses menuju kematangan dan kemajuan NSFC dalam menghadapi cabaran akan datang.
“Tanggungjawab saya seperti diamanahkan oleh kelab adalah jelas iaitu untuk membuat pasukan ini lebih baik dari musim lalu. Saya dan barisan jurulatih ditugaskan untuk membina asas (permainan) untuk bayangan mereka dua atau tiga tahun lagi.
“Saya tahun pertama bagi projek NSFC ini dan ia adalah untuk membina asas-asas masa depan, saya tahu ada suara-suara nakal (daripada penyokong) tapi itu adalah biasa dalam sukan ini, begitu juga di sekolah, pasukan yang gagal akan ada desakan terhadap jurulatih.

“Sekiranya pihak pengurusan kelab merasakan prestasi pasukan tidak cukup bagus, saya orang pertama yang bertanggungjawab dalam perkara ini.
“Namun pihak pengurusan sentiasa berhubung dengan saya dan setakat ini tiada isu hilang kepercayaan,” katanya selepas aksi menentang Imigresen FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.
Pada aksi itu, NSFC tewas 1-2 iaitu kekalahan ketujuh yang direkodkan musim ini selepas 16 perlawanan.
Pemain import Imigresen, Jose Vegas menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-39 dan 84, manakala gol sagu hati NSFC hasil jaringan sendiri pelawat.
Mengulas keseluruhan persembahan anak buahnya, Nidzam menafikan pemain tidak mengikut arahannya atau gagal memahami taktikal yang dimahukan.
Sebaliknya, beliau menegaskan beraksi 10 pemain dalam tempoh 70 minit angkara pemain tengah, Yuichi Hirano dibuang padang selepas menerima kad merah ternyata memberikan tekanan tinggi untuk pasukan mengekalkan rentak terbaik.

