LIVERPOOL, England: Pengurus Manchester United, Michael Carrick memuji impak besar pemain gantian Benjamin Sesko selepas penyudah tenang penyerang Slovenia itu menghadiahkan kemenangan 1-0 ke atas Everton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.
Sesko masih belum membuat penampilan sulung dalam kesebelasan utama dalam enam perlawanan di bawah kendalian Carrick, namun dia muncul dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol dalam tiga daripada empat penampilan terakhir dengan jaringan penting.
Pemain berusia 22 tahun itu turut meledak gol kemenangan lewat ketika menentang Fulham serta menyelamatkan satu mata buat United ketika berdepan West Ham pada masa kecederaan dalam aksi sebelumnya.
Sesko memulakan gerakan yang menghasilkan gol kemenangan apabila ketiga-tiga pemain serangan baharu United yang dibeli dengan nilai keseluruhan £200 juta (RM778 juta) pada musim panas lalu bergandingan dengan berkesan.
Matheus Cunha mengumpan kepada Bryan Mbeumo yang kemudian melorongkan bola kepada Sesko untuk menyempurnakan gol keenamnya dalam tujuh penampilan sejak Ruben Amorim dipecat bulan lalu.
Kemenangan itu melonjakkan United ke kelompok empat teratas EPL, tiga mata di depan Chelsea dan Liverpool dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.
“Penyudahnya amat tajam, saya suka cara dia menjaringkan gol itu dengan penuh keyakinan,” kata Carrick yang meraih lima kemenangan dan satu seri sejak mengambil alih di Old Trafford.
“Gerakan hebat daripada Matheus dan Bryan untuk menciptanya. Saya gembira sekali lagi untuk Ben yang masuk sebagai pemain gantian dan mencetus perbezaan.”
United tidak mempamerkan aksi cemerlang seperti ketika menewaskan pencabar kejuaraan Arsenal dan Manchester City dalam dua perlawanan pertama Carrick ketika aksi di Stadium Hill Dickinson berlangsung hambar.
Namun bekas pengurus Middlesbrough itu tetap gembira apabila pasukannya mencatatkan perlawanan tanpa bolos ketiga dalam enam aksi.
United sebelum ini hanya berjaya mengekalkan gawang tanpa dibolosi dua kali dalam 29 perlawanan musim ini sebelum ketibaan Carrick.
“Kami terpaksa bekerja keras. Pujian kepada Everton kerana mereka menyukarkan keadaan dan memaksa kami banyak bertahan di kawasan sendiri. Semangat kami ketika bertahan sangat hebat,” tegas Carrick.
Penjaga gol Senne Lammens melakukan beberapa tindakan penyelamat penting untuk meneruskan musim penampilan sulung yang mengagumkan bersama United buat pemain Belgium berusia 23 tahun itu.
“Senne amat cemerlang malam ini,” kata Carrick. “Anda tidak boleh mengharapkan lebih daripada seorang penjaga gol. Ia satu persembahan contoh, jadi saya sangat gembira untuknya.
“Sebagai penjaga gol, anda mahu meredakan keadaan kelam-kabut dan Senne memiliki sifat itu. Ketenangan serta kawalannya membantu pemain di hadapannya.” – AFP

