Permohonan Ahmad Zahid bagi pembebasan penuh 47 tuduhan rasuah didengar hari ini

KUALA LUMPUR: Permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dilepas dan dibebaskan daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi, akan didengar Mahkamah Tinggi hari ini.

Permohonan Ahmad Zahid itu akan didengar di hadapan Hakim Nurulhuda Nur’Ain Mohamad Nor pada jam 9 pagi ini dan dijangka Presiden UMNO itu akan hadir pada prosiding berkenaan.

Ahmad Zahid memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi pada 28 Januari lalu dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden, atas alasan utama iaitu Peguam Negara dalam satu kenyataan media pada 8 Januari lalu, memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan berkenaan.

Dalam prosiding terbabit, Ahmad Zahid diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, manakala Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad bertindak bagi pihak Pendakwa Raya.

Pejabat Peguam Negara dalam satu kenyataan pada awal Januari, memaklumkan tiada tindakan lanjut terhadap 47 tuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid, selepas meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu.

Menurutnya, ia selaras kuasa dan budi bicara Peguam Negara bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.

Pada 12 Januari lalu, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan keputusan mengklasifikasikan kes sebagai NFA hanya selepas pihak pendakwaan mengkaji dengan teliti enam representasi yang dikemukakan oleh Presiden UMNO itu.

Mohd Dusuki berkata, keputusan oleh AGC itu tidak dibuat secara ‘suka-suka’ dan jabatan itu tidak akan memberikan ‘NFA tanpa penilaian menyeluruh terhadap fakta, bukti dan merit undang-undang sesuatu kes.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada 4 September 2023 memutuskan DNAA terhadap Ahmad Zahid daripada semua 47 tuduhan selepas membenarkan permohonan Mohd Dusuki yang ketika itu Timbalan Pendakwa Raya.

Mohd Dusuki berkata, pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding, kerana berhasrat menyiasat kes berkenaan dengan lebih mendalam.

Ahmad Zahid sebelum itu telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada AGC sebagai asas pertimbangan supaya pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Surat representasi pertama dikemukakan pada Januari 2023, manakala yang terbaru, lengkap dengan fakta dan bukti baharu, dihantar kepada AGC pada Februari tahun sama.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang ke firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu boleh membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zahid juga didakwa dengan lapan pertuduhan menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Beliau turut berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.