KUCHING: Kelindan lori maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua lori di Jalan Batu 12, di Sibu, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, lori muatan baja merempuh bahagian belakang sebuah lori tangki.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.04 tengah malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 32 kilometer dari balai.
Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Sarikei turut dikejarkan ke lokasi bagi memberi bantuan, menjadikan keseluruhan kekuatan seramai 13 anggota terlibat dalam operasi menyelamat.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan lori muatan baja yang melanggar belakang lori tangki. Terdapat tiga lelaki dewasa terbabit dalam kejadian itu.

“Dua mangsa iaitu kelindan lori baja didapati masih terperangkap dalam kabin kenderaan berkenaan, manakala seorang lagi mangsa yang juga pemandu lori baja berjaya keluar menyelamatkan diri dalam keadaan cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi menyelamat berdepan kesukaran berikutan ruang yang sempit dan keadaan kabin yang remuk teruk, menyebabkan pasukan operasi terpaksa menunggu bantuan sebuah lori dari Sarikei bagi menarik kenderaan terbabit.
Menurutnya, mangsa pertama yang juga kelindan dalam keadaan sedar berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Bagaimanapun, seorang lagi mangsa iaitu kelindan kedua yang tersepit disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM di lokasi kejadian. Anggota menggunakan peralatan khas termasuk Telescopic Ram dan pemotong untuk merenggang serta memotong bahagian kabin yang tersepit sebelum mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya.
Mangsa yang cedera dikenali sebagai Schwarznegger Samuel Numpang, 30, dan Maxwell Bernard Empam, 22, manakala mangsa yang maut ialah Stanley Ali, 30.

