Barisan Jemaah Menteri laksana tugas dengan integriti – PM

KUALA LUMPUR: Barisan Jemaah Menteri pada masa ini menjalankan tanggungjawab penuh berintegriti dan melaksanakan tugas serta komitmen sebagai mana petunjuk prestasi utama (KPI) disasarkan setiap kementerian.

Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak akan berkompromi sekiranya berlaku mana-mana pelanggaran integriti.

“Kerajaan percaya akauntabiliti bukan sekadar soal hukuman, tetapi juga soal pembetulan, penambahbaikan berterusan dan tanggungjawab moral kepada rakyat.

“Justeru, budaya prestasi tinggi dan integriti akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap kementerian benar-benar berfungsi secara efektif, cekap dan beramanah,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) yang meminta penjelasan mengenai komitmen Perdana Menteri terhadap prinsip akauntabiliti Kabinet dan adakah kegagalan prestasi Kementerian akan disusuli tindakan tegas termasuk peletakan jawatan menteri selaras dengan amalan tadbir urus baik, integriti pentadbiran serta kebertanggungjawaban kepada Parlimen dan rakyat.

Mengenai aspek tadbir urus dan integriti, Anwar berkata, kerajaan terus memperkukuh pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP), pemerkasaan Jabatan Audit Negara termasuk mengukuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah.

“Setiap kementerian dikehendaki menetapkan KPI yang jelas, terukur dan sejajar dengan Dasar Malaysia MADANI serta Rancangan Malaysia Ke-12.

“Pencapaian dinilai secara berkala dan dipantau oleh agensi berkaitan seperti Unit Pantau MADANI dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU),” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan MADANI menegaskan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap prinsip akauntabiliti Ahli Jemaah Menteri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, prinsip tanggungjawab bersama (collective responsibility) serta kebertanggungjawaban individu setiap Ahli Jemaah Menteri kepada Parlimen dan rakyat

SUMBER : TV3