Lori terbalik, buah dan sayur bertabur di jalan

SHAH ALAM 26 FEBRUARI 2026. Gambar tular di media sosial memaparkan keadaan lori yang rosak teruk serta muatan buah dan sayur yang dibawa bertaburan di jalan raya. NSTP/IHSAN PEMBACA

SHAH ALAM: Lori yang membawa muatan buah dan sayur terbabas di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Alam Budiman dekat sini, semalam.

Kejadian yang tular di media sosial itu memaparkan keadaan di lokasi kejadian, yang mana muatan buah dan sayur yang dibawa bertaburan di jalan manakala lori rosak teruk.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol, berkata siasatan pihaknya mendapati kemalangan berlaku jam 1 tengah hari semalam.

“Siasatan mendapati, kemalangan membabitkan lori muatan sayur dan buah dipandu lelaki tempatan berumur 20-an bersama kelindan seorang lelaki tempatan berumur 30-an dalam perjalanan dari Bidor, Perak ke Shah Alam.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada masalah brek dan pemandu hilang kawalan lalu terbabas sehingga menyebabkan lori itu terbalik.

“Kemalangan menyebabkan pemandu tersepit dalam lori dan dikeluarkan Bomba,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pemandu dan kelindan cedera di kepala dan kaki dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan.

SUMBER : BERITA HARIAN