KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melahirkan kekaguman terhadap pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, yang bakal membuka tirai kempen penuhnya dalam kelas Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia pada Grand Prix (GP) Thailand esok.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, menceritakan detik pertemuan mereka pada majlis berbuka puasa di Masjid Wilayah Persekutuan baru-baru ini, yang turut digunakan Perdana Menteri memberi kata semangat kepada pelumba berusia 18 tahun itu.
“Perdana Menteri terkejut apabila Hakim Danish kata yang dia sudah mula berlumba seawal usia tujuh tahun. Itu satu kebanggaan dan apa yang penting untuk ditekankan, kita perlu perbanyakkan lagi program sukan akar umbi untuk lahirkan lebih ramai lagi Hakim Danish.
“Seorang individu yang datang dari Terengganu dan juga tidak ada latar belakang keluarga yang (menyertai) MotoGP dan sebagainya.
“Namun kita berjaya melahirkan atlet akar umbi seperti ini. Untuk itu, KBS akan terus bekerja rapat dengan semua pihak bagi memastikan kita dapat melahirkan lebih ramai atlet di akar umbi,” katanya.
Dr Mohammed Taufiq berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran My Athlete Center dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman bersama MACE Partners di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Mengulas mengenai keyakinannya terhadap Hakim Danish di Litar Antarabangsa Chang di Buriram nanti, Taufiq berkata, dia yakin pelumba FRINSA-MT Helmets-MSI itu mampu beraksi dengan baik nanti.
“Saya harap Hakim Danish dan pasukan terus maju dan di Thailand nanti, kita harapkan yang terbaik untuk mereka, terus kekal semangat dan membanggakan Malaysia dan Insya-Allah, saya yakin dia boleh pergi jauh daripada itu untuk negara kita,” katanya.

