KUALA LUMPUR: Samsung Electronics melancarkan barisan peranti terbaharu merangkumi siri telefon pintar Galaxy S26 dan siri fon telinga tanpa wayar Galaxy Buds4, sekali gus memperkukuh strategi ekosistem Galaxy berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang lebih intuitif dan proaktif.
Siri Galaxy S26 yang merangkumi Galaxy S26, S26+ dan S26 Ultra diperkenalkan sebagai generasi ketiga telefon Galaxy berasaskan AI, direka untuk memudahkan tugasan harian pengguna daripada pengurusan jadual dan carian maklumat hingga penciptaan kandungan, dengan keupayaan mengendalikan tugasan kompleks di latar belakang.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Bahagian Device eXperience (DX) Samsung Electronics, TM Roh, berkata syarikat memberi tumpuan untuk menjadikan AI mudah digunakan dan boleh dipercayai setiap hari tanpa memerlukan kepakaran teknikal.
“Siri Galaxy S26 dibangunkan supaya AI berfungsi secara senyap di latar belakang, membolehkan pengguna menumpukan kepada hasil dengan pengalaman penggunaan lebih pantas dan lancar,” katanya.
Dari segi prestasi, siri Galaxy S26 dibina dengan perkakasan berkuasa termasuk cip pemproses tersuai yang dioptimumkan untuk prestasi AI, kecekapan tenaga dan pengurusan haba. Model Ultra menggunakan platform pemproses mudah alih Snapdragon 8 Elite Gen 5 Mobile Platform for Galaxy bagi menyokong pengalaman multitugas, permainan serta rakaman video yang lebih lancar.
Galaxy S26 Ultra turut menampilkan sistem penyejukan Vapor Chamber baharu serta pengecasan pantas bagi menyokong penggunaan sepanjang hari.
Dari aspek kamera, siri Galaxy S26 mengekalkan sistem kamera bertaraf industri dengan peningkatan fotografi dan videografi termasuk prestasi cahaya rendah lebih baik, rakaman video lebih stabil serta alat suntingan berasaskan AI seperti Photo Assist dan Creative Studio yang memudahkan penciptaan kandungan.
Pengalaman AI turut diperkukuh melalui ciri cadangan kontekstual, peringatan peribadi dan carian visual dipertingkat, manakala pembantu digital Bixby dinaik taraf sebagai ejen peranti berasaskan perbualan.
Siri ini turut mengintegrasikan ejen AI termasuk Gemini dan Perplexity bagi membolehkan tugasan pelbagai langkah dilakukan secara automatik merentas aplikasi.

Dari segi keselamatan, Galaxy S26 Ultra memperkenalkan Privacy Display untuk mengehadkan sudut pandangan sisi bagi melindungi kandungan sensitif, dengan perlindungan keseluruhan disokong platform Samsung Knox.
Pada masa sama, Samsung memperkenalkan Galaxy Buds4 Pro dan Galaxy Buds4 sebagai pelengkap kepada siri Galaxy S26 dengan fokus kepada pengalaman audio hi-fi premium, keselesaan pemakaian sepanjang hari serta integrasi AI lebih mendalam.
Naib Presiden Korporat Mobile Enhancement R&D Team, Mobile eXperience (MX) Business Samsung Electronics, Ikhyun Cho, berkata pengalaman audio premium bukan sahaja bergantung kepada kualiti bunyi, tetapi juga keselesaan penggunaan sepanjang hari.
“Siri Galaxy Buds4 dibangunkan bagi menawarkan keselesaan tanpa menjejaskan prestasi audio, dengan padanan ergonomik yang menyokong pengalaman mendengar lebih baik,” katanya.

Galaxy Buds4 Pro menampilkan peningkatan perkakasan audio termasuk woofer lebih besar untuk menghasilkan bunyi lebih semula jadi dengan sokongan audio resolusi tinggi, manakala peningkatan Adaptive EQ dan Active Noise Cancellation membolehkan bunyi menyesuaikan diri mengikut persekitaran.
Ciri Super Clear Call turut meningkatkan kejelasan suara menerusi teknologi jalur lebar dan pembelajaran mesin untuk mengurangkan bunyi latar.
Dalam ekosistem Galaxy, Buds4 membolehkan pengguna mengaktifkan ejen AI secara bebas tangan, manakala Buds4 Pro turut menyokong kawalan Head Gesture bagi mengurus panggilan serta interaksi tanpa memegang telefon.
Pengguna boleh menjimatkan sehingga RM4,000 menerusi program tukar beli Galaxy Forever, menikmati diskaun 30 peratus aksesori terpilih serta pelan ansuran sifar peratus sehingga 36 bulan.
Dari segi harga, Galaxy S26 Ultra (1TB) ditawarkan pada RM7,999, manakala versi 512GB berharga RM6,799. Galaxy S26+ (512GB) berharga RM6,199 dan Galaxy S26 (512GB) dijual pada RM5,199.
Bagi audio, Galaxy Buds4 Pro ditawarkan pada harga RM999 manakala Galaxy Buds4 berharga RM699, dengan promosi diskaun 10 peratus apabila dibeli bersama model Galaxy S dan Z terpilih.
Siri Galaxy S26 dibuka untuk pra-tempahan bermula 26 Februari hingga 10 Mac 2026 dengan ganjaran eksklusif bernilai sehingga RM1,200, manakala pra-tempahan siri Galaxy Buds4 bermula 26 Februari dengan ketersediaan umum pada 11 Mac 2026, sekali gus melengkapkan pengalaman ekosistem Galaxy yang lebih pintar, lancar dan saling terhubung.

