‘Ahli Kelab Penyokong Kerajaan digesa boikot acara anjuran Kedutaan AS’

KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan hari ini menggesa ahli Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) memboikot semua acara anjuran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia bagi menunjukkan pendirian tegas menolak tindakan Israel dan AS yang menyerang Iran.

Mencadangkan tindakan itu, Syahredzan Johan (PH-Bangi), berkata pada tahun lalu, tindakan AS yang menaikkan tarif timbal balik menjejaskan ekonomi negara dan kali ini, situasi sama pasti berlaku.

“Untuk menteri, mungkin mereka ada tanggungjawab (untuk hadir) tapi kita di BBC, kita perlu buat sesuatu. Kita boikotlah Kedutaan AS ini.

“Sekarang ini, mereka buat dengan perang ini, tentu akan jejaskan ekonomi kita.

“Jadi, mungkin apa kita boleh buat, kita ambil pendirian sebagai ahli BBC yang tiada jawatan dalam kerajaan, kita tak payah pergilah jika dapat jemputan (daripada Kedutaan AS), seperti Hari Kemerdekaan.

“Kita tunjukkan, kita tidak boleh lagi terima apa yang mereka lakukan,” katanya.

Beliau mencelah perbahasan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) bagi sesi penerangan situasi keselamatan di Iran dan rantau Asia Barat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang), yang juga Pengerusi BBC, berkata kerajaan Malaysia mesti menggembleng tenaga memimpin suara negara ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendesak gencatan senjata serta-merta di Iran.

Pada masa sama, laluan untuk bantuan kemanusiaan perlu dibuka tanpa syarat dan mengheret penjenayah perang itu ke muka pengadilan.

“Nyawa manusia sedang diratah di hadapan mata dunia. Tindakan AS dan Israel membedil sebuah negara berdaulat memijak lumat undang-undang antarabangsa, dicabul secara terang-terangan demi memuaskan nafsu hegemoni mereka.

“Jika kita terus berdiam diri dan membiarkan prinsip undang-undang ini dicabul secara terang-terangan, maka kita sedang menghantar satu mesej yang sangat berbahaya,” katanya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata AS hanya melihat kepentingan rejim Zionis semata-mata dalam tindakan serangan ke atas Iran, tanpa mengambil kira kepentingan negara Teluk lain.

“Bila Perdana Menteri mengutuk sekeras-kerasnya Israel dan AS, kami pembangkang menyokong kenyataan itu.

“Kita lihat apa yang dilakukan oleh (Presiden Donald) Trump hanya untuk kepentingan dirinya, tidak melihat kedudukan dunia.

“Sebab itu banyak kenyataan bahawa Trump sudah menjadi pemimpin yang begitu angkuh dan sombong, seolah-olah hanya beliau boleh menentukan masa depan dunia,” katanya.