KUALA LUMPUR: Kes 47 klien Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Serdang, Kedah didapati positif methamphetamine disiasat oleh Cawangan Keselamatan Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Pengarah AADK Kedah, Md Razif Wan ketika mengesahkan perkara itu, berkata siasatan dijalankan ke atas kakitangan PUSPEN Serdang yang disyaki menyebabkan klien terbabit positif dadah.
“Kes disiasat oleh Cawangan Keselamatan Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK yang membabitkan anggota polis.
“Saya dimaklumkan siasatan dibuat ke atas kakitangan PUSPEN Serdang yang disyaki menyebabkan 47 klien positif saringan,” katanya kepada BH, hari ini.
Menurut beliau, sebarang perkembangan lanjut berhubung hasil siasatan akan dimaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selaras syor Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) antara lain mencadangkan laporan polis dibuat.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan siasatan dalaman AADK berhubung kes itu sudah bermula sejak November 2024.
Menurut beliau, seorang daripada tiga anggota Polis Bantuan AADK yang dikesan membekalkan dadah kepada klien PUSPEN sudah dipecat daripada perkhidmatan pada Oktober lalu.
Dua lagi anggota Polis Bantuan akan menghadap Lembaga Tatatertib untuk tindakan lanjut yang juga proses akhir siasatan dan sudah dipindahkan ke AADK Kedah.
Katanya, kesalahan berkenaan mengambil masa untuk disiasat dan perlu melalui prosedur tertentu.
Beliau turut memaklumkan siasatan mendapati kakitangan yang ditamatkan perkhidmatan bukan sahaja membekalkan dadah kepada klien PUSPEN yang sedang menjalani rawatan pemulihan, malah individu itu sendiri turut positif dadah.
Sebelum ini, EAIC mendedahkan berlaku pelanggaran arahan oleh pegawai ketika bertugas di PUSPEN Serdang sehingga membawa kepada 47 klien disyaki positif methamphetamine dan mengesyorkan laporan polis dibuat.
EAIC turut mengesyorkan kawal selia yang lebih ketat bagi memastikan tiada bahan terlarang dibawa masuk ke PUSPEN.

