KUALA LUMPUR: Jaguh Muay Thai negara, Jojo Ghazali bersama keluarganya masih terkandas di Makkah selepas penerbangan pulang mereka dibatalkan susulan penutupan ruang udara di beberapa negara Asia Barat.
Jojo atau nama penuhnya, Johan Ghazali, memaklumkan perkara itu menerusi hantaran di media sosial dengan memuat naik tangkap layar emel rasmi daripada Malaysia Airlines (MAS) berhubung pembatalan penerbangan mereka.
Difahamkan, keluarga atlet berusia 19 tahun itu tiba di Arab Saudi sejak awal Ramadan bagi menunaikan ibadah umrah sebelum dijadualkan pulang ke Malaysia pada Ahad lalu.
Bagaimanapun, syarikat penerbangan berkenaan membatalkan semua penerbangan mereka berikutan banyak ruang udara ditutup dan setakat ini tiada tarikh baharu dapat disediakan.
Malah, menurut makluman diterima, pihak syarikat menasihatkan penumpang supaya tidak ke lapangan terbang sekiranya belum berbuat demikian sehingga dimaklumkan mengenai jadual penerbangan baharu.
Walaupun berdepan situasi tidak dijangka, Jojo dilihat tenang dan positif selain menyifatkan keadaan itu memberinya lebih masa untuk berada di Tanah Suci.
Malah, atlet yang beraksi di pentas ONE Championship itu sempat berseloroh dengan menyatakan dirinya “tidak selamat” kerana terkandas bersama ibunya sambil memuat naik gambar ibunya dengan kapsyen berunsur gurauan.
Perkembangan itu menyaksikan Jojo dan keluarganya perlu menunggu perkembangan terkini daripada pihak syarikat penerbangan sebelum dapat pulang ke tanah air.
Situasi berkenaan turut mendapat perhatian peminat sukan tanah air yang mendoakan agar urusan kepulangan mereka dipermudahkan dalam masa terdekat.

