SINGAPURA: Kementerian Luar Singapura semalam mengeluarkan nasihat perjalanan kepada warganegaranya supaya menangguhkan perjalanan ke Palestin dan Israel serta 13 negara Asia Barat tatkala ketegangan semakin meningkat di rantau itu.
Negara terbabit ialah Iran, Iraq, Mesir, Arab Saudi, Syria, Yaman, Lubnan, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Oman, Kuwait dan Qatar.
“Berikutan situasi keselamatan yang semakin meruncing di Asia Barat, warganegara Singapura dinasihat menangguhkan semua perjalanan ke rantau berkenaan,” menurut nasihat yang diterbitkan dalam laman web rasmi kementerian itu, semalam.
Kementerian berkata, pengembara Singapura ke rantau itu boleh merujuk kenyataan jurucakap kementerian yang dikeluarkan pada 28 Februari lalu, untuk maklumat lanjut.
Selain itu, kementerian berkenaan turut menggalakkan rakyat Singapura yang kini berada di Asia Barat untuk mendaftar secara eRegister dengan Kementerian Luar di https://eregister.mfa.gov.sg/.

