Arteta balas kritikan Hurzeler

BRIGHTON: Mikel Arteta membidas dakwaan pengendali Brighton, Fabian Hurzeler yang mengatakan Arsenal “membuat peraturan sendiri” selepas pendahulu Liga Perdana Inggeris itu menang 1-0 di Stadium Amex.

Rembatan Bukayo Saka yang terbias di babak pertama mengesahkan kemenangan ketiga berturut-turut Arsenal untuk lebih menghampiri kejuaraan musim ini.

The Gunners mendahului takhta liga dengan kelebihan tujuh mata ke atas pencabar terdekat, Manchester City, yang seri 2-2 menentang Nottingham Forest tetapi kurang satu perlawanan berbanding Arsenal.

Arteta kini mengawal sepenuhnya misi memburu kejuaraan liga pertama sejak tahun 2004 selepas tiga kali berturut-turut berakhir sebagai naib juara.

Bagaimanapun kali ini ia jauh berbeza dengan kejayaan dikecapi Arsene Wenger 22 tahun lalu yang memenangi liga tanpa kalah sebarang perlawanan.

Arsenal dilihat terlalu bergantung kepada situasi bola mati untuk menjaringkan gol manakala Hurzeler menuduh anak buah Arteta menggunakan taktik kotor untuk memenangi perlawanan.

Hurzeler kecewa apabila pemain-pemain Arsenal melengah-lengahkan permainan dan berpura-pura cedera.

Penjaga gol Arsenal, David Raya juga tiga kali menerima rawatan dan membolehkan Arteta berkongsi taktikal dengan pemain-pemain lain.

“Saya rasa hanya satu pasukan cuba bermain bola sepak hari ini. Pernahkah anda lihat dalam perlawanan Liga Perdana penjaga gol cedera banyak kali? Tidak?

“Mereka membuat peraturan sendiri. Ketika ini saya merasakan yang mereka mencipta peraturan mereka sendiri.

“Saya tidak akan menjadi pengurus yang cuba menang dengan cara sebegitu. Jika ada sesiapa dalam bilik ini menyukai permainan tadi, pastinya dia penyokong setia Arsenal.

“Ke mana hala tuju pada masa akan datang? Adakah ini yang penyokong bayar untuk lihat?” kata Hurzeler.

Arteta bagaimanapun menegaskan pemain-pemainnya layak diberi pujian kerana berjaya merakam satu lagi kemenangan.

“Sungguh mengejutkan. Jika anda imbau aksi-aksi sebelum ini, anda akan temui banyak komen-komen seperti ini.

“Saya sayangkan pemain-pemain saya. Saya suka cara mereka bersaing.

“Apabila anda berada di posisi kami, sudah pasti lawan mahu merampasnya daripada anda. Itu perkara biasa, itulah sukan,” kata Arteta berkenaan kenyataaan Hurzeler.

Selain Liga Perdana Inggeris, Arsenal masih berpeluang untuk merangkul tiga lagi kejuaraan musim ini.

Mereka akan berdepan Bayer Leverkusen di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah, menentang Manchester City di final Piala Liga dan bertandang ke Mansfield untuk pusingan kelima Piala FA.