KUALA LUMPUR: Balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, hadir di Mahkamah Sesyen bagi prosiding membela diri terhadap tuduhan bersubahat dalam kes rasuah membabitkan kelulusan FELCRA bagi pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Zizie Izette tiba di mahkamah pada hari ini dengan memakai sut serba hitam.
Prosiding hari ini kali pertama disebut selepas kematian Bung Moktar pada 5 Disember lalu.
Pada 16 Januari lalu, pendakwaan menolak representasi yang dikemukakan Zizie Izette untuk menggugurkan tiga tuduhan bersubahat melakukan kesalahan rasuah berkenaan, sehubungan itu kes terhadap Zizie Izette diteruskan dengan perbicaraan yang ditetapkan selama tiga hari bermula hari ini.
Pada masa sama, mahkamah membebaskan Allahyarham Bung Moktar daripada tuduhan rasuah berkenaan membabitkan wang berjumlah RM2.8 juta yang dihadapinya, selepas pendakwaan tidak berhasrat meneruskan prosiding terhadap bekas Ahli Parlimen Kinabatangan itu.
Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin daripada tuduhan itu.
Allahyarham Bung Moktar yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA, berdepan tiga tuduhan rasuah membabitkan kelulusan agensi itu melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bagaimanapun, pendakwaan menolak representasi yang dikemukakan Zizie Izette untuk menggugurkan tiga tuduhan bersubahat melakukan kesalahan rasuah berkenaan.
Sehubungan itu, kes terhadap Zizie Izette akan diteruskan dengan perbicaraan yang ditetapkan pada 5, 6 dan 12 Mac.
Hakim Rosli Ahmad ketika itu membebaskan Bung Moktar yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin Hou, pendakwaan tidak berhasrat meneruskan kes berkenaan berikutan kematian tertuduh pada 5 Disember lalu.
Sehubungan itu, Rosli melepas dan membebaskan bekas Pengerusi BN Sabah itu dan memerintahkan wang jaminan berjumlah RM100,000 dan pasport miliknya dikembalikan.
Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di lokasi, tarikh dan masa sama.

