Bursa Malaysia dibuka rendah seiring prestasi lemah Wall Street

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat, seiring prestasi lemah Wall Street semalaman serta kenaikan harga minyak di tengah-tengah ketiadaan petunjuk bahawa krisis di Timur Tengah akan mereda dalam masa terdekat.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.55 mata atau 0.14 peratus kepada 1,710.65 selepas dibuka rendah 0.6 mata kepada 1,712.60.

Pasaran secara keseluruhan mencatat sentimen negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 236 berbanding 102, manakala 252 kaunter tidak berubah, 2,032 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 149.11 juta saham bernilai RM110.35 juta.

Apex Securities Bhd dalam nota penyelidikan hari ini menjangkakan pasaran kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat apabila pelabur terus memantau risiko geopolitik yang sedang berlaku.

“Situasi tidak menentu dijangka kekal tinggi dan peserta pasaran menilai potensi implikasinya terhadap bekalan tenaga global dan inflasi.

“Bagaimanapun, sebarang petunjuk meredakan ketegangan melalui diplomasi dapat membantu menstabilkan sentimen dan menyokong pemulihan secara berperingkat dalam aset berisiko,” katanya.

Mengenai tumpuan sektor, Apex Securities memaklumkan pelabur dijangka beralih kepada sektor tenaga dan syarikat berorientasikan eksport berikutan peningkatan risiko geopolitik serta turun naik harga minyak mentah.

“Pengeksport berkaitan dolar AS dijangka mendapat manfaat daripada ringgit yang rendah manakala sektor perbankan dan REIT kekal menarik berikutan unjuran pendapatan yang berdaya tahan serta hasil dividen yang stabil,” katanya.

Setakat ini, minyak mentah Brent merosot 1.82 peratus kepada AS$83.82 setong.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare naik lima sen kepada RM9.03, Press Metal meningkat tiga sen kepada RM7.68, Hong Leong Bank menambah empat sen kepada RM23.22, SD Guthrie tidak berubah pada RM5.60 manakala Maybank susut dua sen kepada RM11.68.

Dalam kalangan saham paling aktif, Hengyuan Refining Company melonjak sembilan sen kepada RM1.68, Bumi Armada susut setengah sen kepada 35 sen, GDB tidak berubah pada 37.5 sen, AirAsia X merosot lapan sen kepada RM1.34, Capital A turun satu sen kepada 44.5 sen dan Velesto menyusut setengah sen kepada 31.5 sen.

Bagi kaunter paling untung, Nestle meningkat 70 sen kepada RM108.80, Petronas Chemicals naik 16 sen kepada RM3.67, Petronas Dagangan menambah 12 sen kepada RM22.32 dan MBM Resources meningkat lapan sen kepada RM4.97.

Kaunter paling rugi pula ialah Malayan Cement yang susut 11 sen kepada RM8.22, KSL turun 10 sen kepada RM3.18, Sunway Construction merosot sembilan sen kepada RM6.71 dan Elridge Energy berkurangan lapan sen kepada RM1.21.

Di papan indeks, Indeks FBM T100 susut 29.2 mata kepada 12,325.68, Indeks FBM Emas turun 30.30 mata kepada 12,487.03, Indeks FBM 70 jatuh 87.12 mata kepada 17,100.36, Indeks FBM Emas Shariah merosot 23.42 mata kepada 12,150.32 dan Indeks FBM ACE menyusut 45.52 mata kepada 4,450.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 65.91 mata kepada 20,786.86, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.31 mata kepada 174.47, Indeks Tenaga naik 1.33 mata kepada 786.27 manakala Indeks Perladangan susut 0.64 mata kepada 8,186.26.