TEL AVIV: Gelombang terbaru serangan peluru berpandu Iran mencetuskan beberapa letupan di sekitar Tel Aviv, ketika anggota bomba berusaha mengawal kebakaran di bangunan kediaman berhampiran hab komersial Israel hari ini.
Letupan itu berlaku selepas Israel memperluas kempen ketenteraannya terhadap kumpulan Hizbullah, sambil berikrar membalas tindakan kumpulan pejuang yang disokong Tehran itu kerana menyertai konflik berikutan pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, pada Sabtu lalu.
Penyiar milik kerajaan Iran melaporkan Tehran melancarkan peluru berpandu ‘menyasarkan sasaran di tengah-tengah Tel Aviv’, selepas tentera Israel memaklumkan pihaknya sedang memintas serangan peluru berpandu Iran yang masuk lewat malam Khamis.

Wartawan AFP di Tel Aviv melaporkan dua gelombang letupan hampir serentak bergema di seluruh bandar itu.
Jejak roket turut menerangi ruang udara Netanya, sebuah bandar di utara Tel Aviv di pesisir Laut Mediterranean Israel.
Selepas serangan berkenaan, perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom (MDA), memaklumkan pasukannya telah memeriksa beberapa lokasi yang dilaporkan terkena serangan, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Polis Israel pula berkata pihaknya kini meninjau beberapa lokasi di mana serpihan peluru jatuh di kawasan tengah Israel, sambil menambah terdapat kerosakan harta benda tetapi tiada mangsa cedera.

Sebuah projektil dilaporkan mengenai sebuah bangunan di pinggir Tel Aviv sehingga memaksa penduduk dipindahkan dari kawasan berkenaan.
Di sebuah lagi kawasan perumahan berhampiran pusat ekonomi Israel itu, anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran yang berpunca daripada serpihan selepas roket Iran berjaya dipintas.
Sementara itu, Komando Barisan Hadapan Israel mengeluarkan beberapa amaran serangan roket awal pagi Jumaat kepada komuniti berhampiran sempadan Lubnan. – AFP

