Seorang maut, 12 ditahan di Jalan Gombak malam tadi

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut selepas terjun dari tingkat tiga sebuah unit kediaman di Jalan Gombak di sini, malam tadi, ketika melarikan diri bersama seorang rakannya untuk mengelak daripada ditahan polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata kejadian jam 9.07 malam ketika sepasukan anggotanya sedang melakukan serbuah di situ berkaitan dengan kes curi motosikal.

“Kedua-dua suspek cuba melarikan diri dengan bertindak terjun daripada tingkat tiga bangunan. Seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fadil berkata kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

Katanya, serbuan itu turut membawa kepada penahanan 12 individu di kediaman berkenaan.

“Polis menahan 12 individu terdiri daripada empat lelaki, lima wanita dan tiga kanak-kanak berumur lingkungan tiga hingga 42 tahun termasuk dua warganegara Indonesia. Polis juga merampas dua motosikal curi dan beberapa jenis dadah di kediaman itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Fadil menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan serta kegusaran awam.