Tangani isu ekstremisme agama dengan keberanian, bukan diplomasi

Isu ekstremisme agama sering menjadi perbincangan hangat setiap kali tercetus insiden keganasan atau konflik dikaitkan dengan kepercayaan atau agama.

Dalam suasana masyarakat majmuk seperti Malaysia, perkara ini perlu ditangani secara berhati-hati, rasional dan berasaskan undang-undang supaya keamanan serta keharmonian terus terpelihara. Bagi menangani isu ini, kita perlu melihat punca sebenar yang mencetuskan ketegangan akibat dicetuskan ekstremis ini.

Foto hiasan. - Bernama
Foto hiasan. – Bernama

Banyak konflik akhirnya dilabel sebagai bermotif agama sebenarnya berpunca daripada isu lain lebih besar, terutama pelanggaran peraturan, kegagalan penguatkuasaan dan tidak peduli kepada prinsip kedaulatan undang-undang.

Sebagai contoh, dalam beberapa kes seperti isu pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan atau secara tidak sah, undang-undang kerap dilanggar pengamal agama atau sengaja tidak mempedulikan peraturan.

Apabila undang-undang ini dilanggar atau penguatkuasaan tidak dibuat secara konsisten, ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pihak tertentu.

Peraturan berkaitan pembinaan premis keagamaan sebenarnya sudah lama wujud bagi memastikan pembangunan berlaku secara teratur serta menghormati sensitiviti masyarakat setempat.

Apabila tapak dan rumah ibadat itu menjadi pertikaian, akhirnya menjadi peluang kepada puak ekstremis untuk menjadi ‘hero koboi’ mencari individu membangkitkan persoalan berkenaan.

Lebih membimbangkan apabila puak ini menunggang sentimen agama bagi mempertahankan tindakan jelas melanggar peraturan.

Maka, jika undang-undang diketepikan atas nama keunggulan agama, keadaan ini berpotensi menimbulkan ketegangan dan salah faham yang akhirnya membawa kepada konflik lebih besar.

Sebab itu pihak berkuasa kena bertindak tegas dan adil sejak awal. Penguatkuasaan tegas dan konsisten kunci utama bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan tanpa mengira latar belakang agama atau kaum.

Pada masa sama, tindakan menyalahkan individu atau kumpulan membongkar pelanggaran undang-undang penunggang agama dengan pelbagai label seperti ‘ejen provokasi’ juga bukan satu perbuatan bijak.

Sebagai negara menjunjung kedaulatan undang-undang, suara pihak menuntut ketelusan dan pematuhan peraturan dalam soal pembinaan rumah ibadat perlu dilihat dari sudut kepentingannya adalah demi memperkukuh pentadbiran, bukan dilabel pencetus konflik.

Ini yang patut diberi tumpuan pihak berkuasa termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Perpaduan Negara.

Kerjasama rentas kementerian ini penting bagi menangani isu membabitkan sensitiviti agama kerana ia memerlukan pengurusan teliti, dialog berterusan dan penguatkuasaan profesional.

Dalam isu ekstremisme agama ini, ia tidak boleh ditangani secara diplomasi semata-mata, tetapi terletak pada keberanian pihak berkuasa menegakkan undang-undang dan menangani punca konflik secara adil pada peringkat akar umbi.