Trump saran Iran tarik diri daripada Piala Dunia

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan skuad bola sepak kebangsaan Iran supaya menarik diri daripada Piala Dunia FIFA akan datang sebagai langkah menjaga keselamatan mereka.

Trump menulis di Truth Social, platform media sosial miliknya, Iran dialu-alukan untuk bermain di AS pada musim panas ini, namun beliau berasakan kehadiran pasukan itu mungkin tidak sesuai.

“Iran dialu-alukan untuk bermain di AS pada musim panas ini, tetapi saya benar-benar tidak percaya adalah wajar mereka berada di sana, demi keselamatan dan nyawa mereka sendiri. Terima kasih atas perhatian terhadap perkara ini,” tulisnya.

Ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan Iran dijadual berlangsung di bumi AS.

Iran akan membuka aksi Kumpulan G menentang New Zealand di Inglewood, California pada 15 Jun sebelum berdepan Belgium pada 21 Jun. Mereka kemudian dijadual menentang Mesir di Seattle pada 26 Jun.

AS dan Israel memulakan perang dengan Iran pada 28 Februari lalu menerusi siri serangan udara yang mengorbankan pemimpin tertinggi negara itu, Ali Khameini serta beberapa pegawai lain.

Menteri Sukan Iran, Ahmad Donyamali dilaporkan memberitahu televisyen negara minggu ini Iran mungkin tidak dapat menyertai Piala Dunia selepas kematian Khameini.

Bagaimanapun, akaun Instagram rasmi pasukan kebangsaan Iran memuat naik kenyataan pada Khamis yang menolak cadangan Trump, selain seolah-olah mempersoalkan tahap keselamatan penganjuran Piala Dunia di AS.

“Piala Dunia adalah acara bersejarah dan antarabangsa dan badan yang mentadbirnya adalah FIFA – bukan mana-mana individu atau negara,” menurut kenyataan itu.

“Pasukan kebangsaan Iran, dengan kekuatan serta siri kemenangan yang diraih oleh anak-anak Iran yang berani, menjadi antara pasukan terawal yang layak ke kejohanan besar ini.

“Sudah tentu tiada siapa boleh menyingkirkan pasukan kebangsaan Iran daripada Piala Dunia; satu-satunya negara yang mungkin disingkirkan adalah negara yang hanya memegang gelaran ‘tuan rumah’ tetapi tidak mempunyai kemampuan menyediakan keselamatan kepada pasukan yang bertanding dalam acara global ini.”

Rumah Putih tidak segera menjelaskan maksud “keselamatan” dalam kenyataan Trump itu, yang dilihat bercanggah dengan kenyataannya dalam pertemuan bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino baru-baru ini.

“Presiden Trump menegaskan pasukan Iran tentunya dialu-alukan untuk bertanding pada kejohanan di AS,” tulis Infantino dalam hantaran di Instagram, Selasa lalu.

“Kita semua memerlukan acara seperti Piala Dunia FIFA untuk menyatukan manusia lebih daripada sebelumnya dan saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden AS atas sokongannya kerana ia sekali lagi membuktikan bola sepak mampu menyatukan dunia.”

Piala Dunia dengan 48 pasukan, yang terbesar dalam sejarah kejohanan, akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai di AS, Mexico dan Kanada.

Iran merancang untuk menjalani latihan di Tucson, Arizona sebelum memulakan kempen peringkat kumpulan.

Skuad Iran yang berada di ranking ke-20 dunia layak ke Piala Dunia buat kali keempat berturut-turut pada Mac tahun lalu sebagai antara pasukan terbaik dalam Konfederasi Bolasepak Asia.

Pada edisi 2022 di Qatar, Iran tersingkir di peringkat kumpulan selepas tewas 0-1 kepada AS.

Atlet dan jurulatih Iran bagaimanapun dikecualikan daripada larangan perjalanan yang dikenakan Trump terhadap negara itu pada Jun tahun lalu. – REUTERS