Kerajaan Melaka teruskan penganjuran rumah terbuka Aidilfitri – Ab Rauf

MELAKA: Penganjuran rumah terbuka Aidilfitri kerajaan Melaka pada 28 Mac ini akan diteruskan seperti dirancang, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Melaka akan terus menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri pada tarikh yang telah kita tetapkan iaitu 28 Mac ini dan ia bagi meraikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Moreh Ketua Menteri Bersama Media Melaka di sebuah restoran, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Ab Rauf mengumumkan rumah terbuka Aidilfitri kerajaan negeri pada tahun ini bakal berkonsep ‘Melaka Sayang Rakyat’ dan akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan semua kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak akan menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri tahun ini sebagai langkah berjimat cermat susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat.