TELUK INTAN: Seorang lelaki warga Indonesia didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini kerana menunggang motosikal secara berbahaya sambil membawa sabit berhulu panjang termasuk sehingga menyebabkan kematian seorang remaja minggu lalu.
Tertuduh, Sutiyono, 39, mengangguk faham selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Naidatul Athirah Azman, namun pengakuan tidak direkodkan memandangkan tertuduh mempunyai masalah pendengaran.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menunggang motosikal secara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Adham Faisal, 18, iaitu penunggang motosikal jenis Honda Vario 150cc bernombor pendaftaran KEV 4662.
Kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu dilakukan di Lorong Haji Abdul Rashid, Kampung Selabak, di sini, kira-kira jam 8.10 pagi Mac lalu.
Pertuduhan kedua pula mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal dengan cara berbahaya hingga menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Mu’ammar Ismail, 17, pada tarikh, tempat dan yang masa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi, manakala tertuduh diwakili peguam pro bono, Francis Sinnappan.
Nur Darwis sebaik pertuduhan dibacakan meminta mahkamah mempertimbang tarikh baharu bagi lantikan jurubahasa bahasa isyarat memandangkan tertuduh ada masalah pendengaran, selain jurubahasa Indonesia.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan dua penjamin warga Malaysia dengan salah seorang majikan tertuduh.
Naidatul Athirah menetapkan 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan bedah siasat di samping lantikan dua jurubahasa dimohon pihak pendakwaan.

