KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tampil menjelaskan bahawa proses pendaftaran pemain naturalisasi dan pemain warisan adalah dua perkara berbeza.
Penjelasan itu dibuat MFL susulan terdapat pihak yang membangkitkan perkara berkenaan membabitkan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel serta seorang pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero yang didaftarkan sebagai pemain tempatan.
Malah, sekumpulan penyokong bola sepak tanah air turut membuat bantahan aman di hadapan pejabat MFL di Kelana Jaya, semalam yang menuntut badan pengelola memperjelaskan perkara itu.
MFL dalam kenyataan menjelaskan bahawa proses pengesahan status dan pendaftaran pemain naturalisasi di dalam Liga Malaysia (Liga M) adalah seperti yang dijelaskan dalam Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026 di bawah Perkara 4.5.9.
MFL memaklumkan, bagi pendaftaran pemain Figueiredo, Irazabal, Hevel dan Palmero jelas mengikut peraturan pertandingan Liga M dengan menggunakan kad pengenalan yang sah sebagai warganegara Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Seperti yang sudah dijelaskan MFL sebelum ini, ia merujuk kepada Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026, di bawah 01 Peraturan Pertandingan, Artikel 3: Sistem Pendaftaran Dan Perpindahan Pegawai Dan Pemain; 3.3 Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak FAM MYPAS (FIFA CONNECT); Perkara C, Pemain Tempatan Dan Asing iaitu mewajibkan salinan kad pengenalan berwarna atau salinan pasport berwarna.
“Perkara ini turut dijelaskan menerusi surat perkeliling kepada semua kelab Liga Malaysia bertarikh 12 Jun 2025, perkara 8.2 menyatakan dokumen-dokumen yang wajib dikemaskini dan dimuatnaik dalam format pdf untuk proses kelulusan bagi a) Pemain Tempatan Dan Asing: i. Salinan kad pengenalan berwarna ATAU salinan passport berwarna.
“Sepertimana kenyataan media MFL pada 13 Mac lalu, empat pemain itu sudah didaftarkan dalam Liga Malaysia sebagai pemain tempatan dan bukan pemain naturalisasi.
“Sebagai pemain tempatan, keempat-empat pemain ini boleh didaftarkan terus bagi saingan Liga Malaysia 2025-2026 di mana Figueiredo, Irazabal dan Hevel didaftarkan pada tempoh pertama pendaftaran pemain 9 Jun hingga 31 Ogos 2025 oleh JDT manakala Palmero yang ketika itu dibebaskan sementara daripada hukuman penggantungan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) didaftarkan oleh Kuching City FC pada tempoh kedua pendaftaran pemain, 5 Januari hingga 1 Februari 2026.
“Malah keputusan MFL untuk mengiktiraf pemain berkenaan sebagai pemain tempatan turut diperakui oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Windsor John pada 13 Mac lalu dengan menjelaskan bahawa tiada sebarang isu berkenaan keputusan yang diambil kerana ia mengikut Peraturan Pertandingan Liga Malaysia,” menurut kenyataan MFL.
Menerusi kenyataan sama, MFL menjelaskan mengambil maklum maklum mengenai tindakan sekumpulan penyokong yang mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat MFL, semalam.
MFL menghormati hak setiap pihak untuk menyuarakan sebarang pandangan namun sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, reputasi industri bola sepak tempatan serta mencetuskan persepsi negatif terhadap ekosistem bola sepak negara adalah tidak wajar.
“Sebagai badan pengelola liga profesional negara, MFL sentiasa komited untuk memastikan setiap keputusan dibuat berlandaskan peraturan pertandingan serta mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk kelab, pemain, penyokong dan rakan industri.
“MFL meminta semua pihak menyalurkan sebarang pandangan atau ketidakpuasan hati melalui saluran yang betul demi memastikan keharmonian dan imej bola sepak negara terus terpelihara,” kata MFL.

