GENEVA: Laporan dikeluarkan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan pihak berkuasa Israel mempercepatkan perluasan penempatan haram di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur.
Tindakan itu mengakibatkan lebih 36,000 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah keganasan yang semakin meningkat oleh pasukan keselamatan dan peneroka haram Israel, lapor Agensi Berita Xinhua.
Laporan yang merangkumi tempoh dari 1 November 2024 hingga 31 Oktober 2025 itu merekodkan 1,732 kes keganasan oleh pendatang haram yang menyebabkan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda, meningkat daripada 1,400 kes pada tempoh laporan sebelumnya.
Menurut laporan itu, kes -kes berkenaan termasuk gangguan berterusan, ugutan, serta pemusnahan rumah dan ladang milik rakyat Palestin.
“Keganasan peneroka haram berterusan dalam cara yang tersusun, strategik dan sebahagian besarnya tidak dicabar, dengan pihak berkuasa Israel memainkan peranan utama dalam mengarah, menyertai atau membolehkan perlakuan ini berlaku,” menurut laporan itu.
Laporan itu turut menyatakan bahawa perpindahan rakyat Palestin di Tebing Barat berlaku seiring dengan perpindahan berskala besar di Semenanjung Gaza.
Ia menunjukkan petanda bahawa Israel kemungkinan sedang melaksanakan ‘dasar pemindahan paksa secara besar-besaran’ yang terancang di seluruh wilayah Palestin.
Ini bertujuan untuk mengusir penduduk Palestin secara kekal, sekali gus menimbulkan ‘kebimbangan terhadap pembersihan etnik’.
Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk, menggesa Israel supaya segera menghentikan pembukaan dan perluasan penempatan, memindahkan semua peneroka haram serta menamatkan pendudukan di wilayah Palestin.

