KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli dijangka berdepan ujian getir apabila turun beraksi pada pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Dunia di Litar Americas (COTA) di Austin, Texas, minggu ini.
Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, litar di Austin itu bukan sahaja baharu buat anak didiknya itu, malah dikenali antara trek paling mencabar dalam kalendar perlumbaan.
“Ia satu cabaran besar buat Hakim Danish kerana ini kali pertama dia akan berlumba di sini.
“Litar ini sangat mencabar dan tidak mudah untuk dikuasai, terutamanya di Sektor 1 dan Sektor 2 yang mempunyai selekoh teknikal yang memerlukan kelancaran tunggangan serta momentum tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, bekas pelumba negara itu tetap optimis anak didiknya mampu menyesuaikan diri dengan cepat berdasarkan peningkatan prestasi ditampilkan minggu lalu di Grand Prix (GP) Brazil.
“Saya yakin keputusan cemerlang di GP Brazil memberikan Hakim Danish keyakinan tambahan untuk menghadapi Litar COTA. Harapan saya supaya Hakim Danish dapat mempelajari selok-belok litar ini dengan pantas dan mengekalkan tahap prestasi sama seperti di Brazil.
“Pada pendapat saya, dalam kalendar MotoGP tahun ini, inilah litar yang paling sukar untuk diadaptasi. Saya berharap Danish dapat memberikan yang terbaik dan tampil kompetitif bermula dari hari pertama perlumbaan,” katanya.
Terdahulu, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mencuri perhatian pada GP Brazil minggu lalu apabila meraih tempat ketiga sesi kelayakan dan memulakan perlumbaan dari barisan hadapan.
Hakim Danish kemudian menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik, sekali gus mengutip enam mata berharga setakat ini.

