TEHRAN: Israel terus melancarkan serangan ke atas Iran hari ini, hanya beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, mendakwa Tehran mahu mencapai perjanjian bagi menamatkan perang.
Konflik yang kini hampir memasuki minggu keempat itu semakin meluas dengan membabitkan beberapa negara di Asia Barat, sekali gus memberi kesan kepada pasaran tenaga dunia dan ekonomi global.
Iran, yang berdepan pengeboman hampir setiap hari sejak serangan bersama AS dan Israel pada 28 Februari lalu, dilaporkan diserang awal pagi tadi menerusi gelombang serangan berskala besar yang menyasarkan infrastruktur, termasuk di bandar tengah Isfahan.
Sebagai tindak balas, serangan peluru berpandu Iran mencetuskan siren amaran di kawasan tengah Israel termasuk Tel Aviv dan beberapa bahagian Baitulmaqdis pada pagi tadi, menurut tentera Israel.
Ia adalah pelancaran pertama yang dikesan dari Iran dalam tempoh lebih 14 jam.
Trump, yang beberapa kenyataannya sendiri sering bercanggah sejak kebelakangan ini, cuba bernada lebih berdamai, mendakwa rundingan bagi menamatkan perang sedang berlangsung dengan Iran, namun pegawai di Tehran menafikannya.
Menurut laporan The New York Times, pelan AS yang mengandungi 15 perkara, antara lain, menyentuh program nuklear dan peluru berpandu Iran selain laluan maritim.
Tehran kini menyekat sebahagian besar laluan minyak penting Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel, sekali gus mendorong kenaikan harga tenaga global.
Seorang pegawai Iran yang dipetik oleh Press TV berkata Tehran turut mengemukakan lima syarat sendiri untuk menamatkan permusuhan, termasuk jaminan AS dan Israel tidak akan menyambung semula perang serta pampasan bagi kerosakan akibat konflik.
Dalam pada itu, dengan ribuan lagi tentera AS dilaporkan menuju ke Asia Barat, Iran turut mengancam membuka satu lagi medan konflik dengan menyasarkan perkapalan di Laut Merah jika Washington melancarkan pencerobohan darat.
Jika pencerobohan darat AS berlaku, Iran memberi amaran akan menyekat Selat Bab el-Mandeb yang menghubungkan Lautan Hindi dengan Laut Merah serta Terusan Suez, menurut seorang pegawai tentera yang enggan dikenali.
Sementara itu, Ketua Hizbullah, Naim Qassen berikrar untuk terus berjuang tanpa had selepas serangan udara dan darat Israel dilaporkan mengorbankan lebih 1,000 orang di seluruh negara itu.
Qassem, dalam kenyataannya semalam, berkata Lubnan berdepan dua pilihan, sama ada menyerah kalah dan melepaskan tanahnya atau menghadapi konfrontasi serta tentangan yang dianggap tidak dapat dielakkan terhadap Israel.
Beliau juga menegaskan negara itu tidak sepatutnya bersetuju mengadakan rundingan dengan kerajaan Israel ketika pengeboman ke atas jiran utaranya masih berterusan.
“Berunding dengan musuh Israel ketika serangan masih berlaku sama seperti memaksa penyerahan dan melucutkan keupayaan Lubnan, terutama apabila rundingan secara asasnya ditolak dan musuh menduduki wilayah serta terus melakukan pencerobohan setiap hari,” katanya.
Qassem turut menyeru perpaduan nasional bagi menghadapi apa yang disifatkannya sebagai musuh AS-Israel, dengan keutamaan pada tahap ini adalah menghentikan serangan serta membebaskan tanah dan rakyat, manakala isu lain boleh dibincangkan kemudian. – AFP

