Lebih 75 peratus penyokong EPL tolak VAR

LONDON: Lebih 75 peratus penyokong Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak menyokong penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) secara berterusan, menurut satu tinjauan oleh Persatuan Penyokong Bolasepak (FSA).

Tinjauan dalam talian yang dijalankan antara 26 Februari hingga 23 Mac itu membabitkan hampir 8,000 penyokong kelab EPL, kata FSA.

Hasil kajian menunjukkan 75.7 peratus responden tidak menyokong penggunaan VAR dalam bola sepak, manakala 91.7 peratus berpendapat teknologi itu mengurangkan kegembiraan spontan ketika meraikan jaringan.

“Dapatan ini mengesahkan tinjauan FSA sebelum ini pada 2021, apabila penyokong menyuarakan keraguan terhadap pengenalan VAR,” kata pengurus rangkaian Liga Perdana FSA, Thomas Concannon.

“Kami sudah berkongsi hasil tinjauan ini dengan Liga Perdana dan PGMO (Professional Game Match Officials Limited), dan berharap dapat membincangkan dapatan ini bersama mereka.”

Kelab EPL sebelum ini mengundi untuk mengekalkan VAR pada Jun 2024 walaupun menerima kritikan meluas terhadap sistem bantuan teknologi itu.

“Walaupun VAR menghasilkan keputusan yang lebih tepat, sudah dipersetujui bahawa penambahbaikan perlu dibuat demi kebaikan permainan dan penyokong,” menurut liga dalam satu kenyataan ketika itu. – REUTERS