Pengasuh Baby Syifaa sebabkan kematian dipenjara setahun, denda RM15,000

SEREMBAN: Pengasuh ‘Baby Syifaa’ dijatuhi hukuman penjara setahun di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian bayi itu, empat tahun lalu.

Hukuman diputuskan Hakim N Kanageswari terhadap tertuduh, Khairunnisa Ahmad Damanhuri, 41, pada prosiding hari terakhir perbicaraan kes membabitkan kejadian bayi berusia 15 bulan itu di Bandar Sri Sendayan, di sini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar denda RM15,000 dan sekiranya gagal bayar, boleh dipenjara empat bulan.

Tertuduh turut diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 48 jam dalam tempoh enam bulan sebaik selesai menjalani hukuman penjara serta bon berkelakuan baik selama setahun sebanyak RM5,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili peguam S Kavittha, manakala pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Ku Hayati Ku Haron.

Turut hadir, ibu bapa Baby Syifaa, Anida Idrus, 44, dan Yuseri Yusoff, 42.

Mengikut pertuduhan, Khairunnisa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan, Nour Rania Asyifaa, mengabaikan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah hari di pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan, di sini pada 22 Februari 2022.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 31 Julai 2024 lalu, Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian Baby Syifaa yang ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di pusat asuhan itu, adalah disebabkan tekanan pada leher.

Seramai 28 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk ibu dan bapa Baby Syifaa sepanjang prosiding inkues yang bermula pada 22 September 2022.