ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 13 maut awal pagi tadi, susulan serangan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel di daerah Baharestan, wilayah Tehran, lapor agensi berita Fars melalui Anadolu Ajansi.
Gabenor Baharestan menjelaskan bahawa angka kematian direkodkan apabila tentera kedua-dua negara itu mengebom dua unit kediaman di bandar Qaleh Mir.
Menurutnya, kerja pembersihan sisa runtuhan serta operasi mencari dan menyelamat mangsa di lokasi masih giat dijalankan.
Bunyi letupan kuat turut kedengaran sekitar tengah malam di ibu kota Tehran.
Pesawat pejuang dikesan melintasi ruang angkasa bandar itu dengan beberapa letupan berlaku di kawasan selatan dan barat.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berkaitan jumlah kerosakan akibat serangan yang turut memaksa sistem pertahanan udara diaktifkan sepenuhnya.
Laporan awal mendedahkan bahawa dalam serangan ke atas Tehran kira-kira dua jam sebelumnya, Universiti Teknologi Sharif turut menjadi sasaran bedilan. – AGENSI

