Rancang ke Piala Asia 2031 mulai sekarang – Zainal

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya perlu bangkit segera dan terus berjuang kerana gerak kerja bagi mensasarkan slot ke Piala Asia 2031 perlu bermula dari sekarang.

Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan menegaskan tempoh empat tahun yang ada sebelum Piala Asia 2031 ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya supaya perancangan yang terbaik menuju ke pertandingan itu dapat dilaksanakan.

Jelasnya, beliau optimis tempoh yang ada ketika ini mencukupi buat skuad Harimau Malaya membentuk pasukan yang mantap bagi memburu tempat ke Piala Asia 2031 itu nanti.

“Sebab itulah kita kena bangkit dengan segera. Bola sepak Malaysia ini bukan dalam kategori remaja, kita sudah lama berkecimpung di tahap antarabangsa sebelum saya bermain sekalipun.

“Kita sebenarnya tidak ketinggalan jauh. Kita hanya kena kejutan dan berdasarkan apa yang sudah kita lakukan sebelum ini, kita sudah tahu apa yang perlu dilakukan untuk mencapai tahap Piala Asia.

“Bagi saya, bola sepak tidak pernah mati. Jadi mulai sekarang, kita perlu ada kertas kerja untuk melayakkan diri ke Piala Asia dan kena bekerja bermula hari ini.

“Kita harap semua yang terbabit dalam bola sepak dapat mengambil satu cabaran ini untuk meningkatkan bola sepak kita dengan segera kerana ia bukan mudah,” kata Zainal.

Sebagai rekod, skuad bimbingan Peter Cklamovski hanya selangkah untuk beraksi di Piala Asia buat kali kedua berturut-turut apabila mendahului Kumpulan F selepas lima perlawanan dengan lima kemenangan.

Namun ‘tsunami’ melanda susulan skandal tujuh ‘Harimau Palsu’ sehingga menyebabkan kemenangan ke atas Nepal dan Vietnam dibatalkan dan dianggap tewas 0-3 selain turut dipotong enam mata.

Situasi itu menyaksikan impian skuad negara ke Piala Asia 2027 terkubur dan mereka menutup kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dengan kekalahan 1-3 di tangan Vietnam.