Peniaga wanita didenda RM1,500 kes jual produk makanan tak ikut piawai

KUALA TERENGGANU: Dua peniaga wanita masing-masing didenda RM1,500 seorang oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menjual produk tidak mengikut piawaian.

Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak menjatuhkan hukuman selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Mahkamah turut memerintahkan mereka dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Khalilah Sa’adah Jamaludin, 42, selaku pengarah Raheel Ahmad Enterprise didakwa menjual garam bukit yang tidak mematuhi piawaian ditetapkan apabila didapati mengandungi iodin pada kadar 0 mg/kg.

Kesalahan itu dilakukan di kilangnya di Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus pada 15 Oktober tahun lalu jam 10.30 pagi.

Dalam prosiding berasingan, seorang warga emas didakwa menjual makanan tercemar.

Fatimoh Zaharah Abu Samah, 70, selaku pemilik Bluebay Cafe mengaku bersalah menjual ikan cencaru masak berlada yang mengandungi bakteria coliform melebihi had dibenarkan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kafe di belakang Jabatan Pesakit Luar Hospital Sultanah Nur Zahirah pada 22 Oktober tahun lalu jam 11.10 pagi.

Pendakwaan dilakukan unit pendakwaan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus manakala tertuduh tidak diwakili peguam.