Rakyat AS bimbang, takut kesan perang dengan Iran

WASHINGTON: Rakyat Amerika Syarikat (AS) kini berdepan persoalan mengenai makna konflik perang di Asia Barat terhadap kehidupan mereka, meskipun gencatan senjata yang rapuh mula berkuat kuasa.

Selepas enam minggu peperangan dengan Iran yang menggoncang pasaran tenaga, penduduk AS semakin bimbangkan kesannya ekonomi global,

Reuters menemui beberapa individu di Indiana, New York, California, Georgia dan Colorado, sehari selepas AS dan Iran bersetuju melaksanakan gencatan senjata menjelang rundingan yang dirancang di Pakistan hari ini.

Ia bertujuan untuk memahami bagaimana mereka menilai perang itu di tengah kitaran berita pantas, gangguan berterusan media sosial dan landskap politik yang berpecah-belah.

Dilancarkan tanpa kelulusan Kongres, perang itu secara umumnya tidak popular, walaupun pandangan berbeza mengikut garis kepartian.

Tinjauan Reuters/Ipsos yang diterbitkan pada 31 Mac mendapati 60 peratus rakyat AS menentang serangan ketenteraan terhadap Iran, dengan 74 peratus Republikan menyokong tindakan itu berbanding hanya tujuh peratus Demokrat.

Selain pandangan mengenai perang, Reuters turut bertanyakan kepada mereka mengenai keadaan ekonomi, perpecahan politik negara dan sejauh mana mereka mengikuti perkembangan berita semasa.

Kenaikan kos menjadi topik utama perbincangan dengan seorang pengusaha katering di Indiana bergelut menjana pendapatan mencukupi bagi menampung kos petrol yang meningkat.

Bekas pemilik perniagaan, Terry Lemoine, 82, meluahkan kekecewaannya terhadap Trump dan perang itu.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Trump hanya melakukan apa yang dia mahu. Dia tidak peduli tentang sesiapa, hanya dirinya sendiri. Itu sahaja.

“Perang ini memang bodoh, tiada sebab untuknya,” katanya, sambil menambah beliau percaya Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mempengaruhi Trump untuk meneruskan perang itu.

Seorang tukang masak, Antwuan Bannister, 32, berkata Trump seorang yang berimej macho, sebab itu AS berperang.

“Dia mahu menguasai dunia. Ini akan memakan diri dan negara kita,” katanya. – AGENSI