JAKARTA: Indonesia memperoleh sebanyak Rp11.42 trilion daripada denda pentadbiran dan langkah penguatkuasaan kewangan pada 2026, setakat ini, menjadikan jumlah keseluruhannya mencecah Rp31.3 trilion ketika Presiden, Prabowo Subianto, mempergiatkan usaha melindungi kewangan awam.
Bercakap pada majlis penyerahan di Pejabat Peguam Negara, Prabowo berkata, perolehan terbaru itu mencerminkan tindakan diperhebat bagi menutup ketirisan kewangan serta mengukuhkan sumber kerajaan.
Katanya, jumlah keseluruhan itu termasuk kira-kira Rp13 trilion yang dipulihkan pada Oktober 2025 membabitkan kes rasuah kemudahan eksport minyak sawit mentah (CPO) dan terbitannya, diikuti Rp6.625 trilion pada Disember 2025, dan baki Rp11.42 trilion yang diserahkan, semalam.
Menyifatkan angka itu sebagai signifikan, beliau berkata, dana dipulihkan itu boleh digunakan untuk membaik pulih 34,000 sekolah seluruh Indonesia serta mengubah suai lebih 500,000 rumah bagi komuniti berpendapatan rendah, yang memberi manfaat kepada kira-kira dua juta orang.
“Dengan ini, jumlah tunai yang berjaya kita selamatkan hingga hari ini ialah Rp31.3 trilion,” katanya dalam ucapan disiarkan secara langsung melalui akaun YouTube Sekretariat Presiden, semalam.
Prabowo berkata, pasukan petugas juga telah memperoleh semula kawalan ke atas aset negara di kawasan hutan yang bernilai kira-kira Rp370 trilion, iaitu bersamaan hampir 10 peratus daripada Belanjawan Negara (APBN).
“Jika kita mengira Rp370 trilion ini, kita boleh menjangkakan semua sekolah di seluruh Indonesia dapat dibaik pulih, dimodenkan, serta dilengkapi pendigitalan dan skrin digital pintar.
“Kita boleh membaiki semua kemudahan sanitasi di sekolah kita. Kita juga boleh membina beribu-ribu jambatan di kampung-kampung,” katanya.
Prabowo sekali gus menzahirkan penghargaan kepada ahli pasukan petugas terbabit, sambil menyatakan ada dalam kalangan mereka berdepan ancaman dan intimidasi ketika menjalankan tugas.
Beliau turut memberi amaran bahawa sebarang percubaan untuk menghalang pasukan petugas itu akan dianggap sebagai cabaran kepada kepresidenan.
Presiden itu tidak ketinggalan menyeru agensi penguatkuasaan undang-undang supaya bertindak tegas terhadap penyeludupan, perlombongan haram dan aktiviti menyalahi undang-undang yang lain.
“Kita tidak akan berhenti, kita tidak akan takut, dan kita akan terus mara demi mempertahankan bangsa serta negara,” katanya.

