Pemandu bas tular riba kenalan wanita sudah berkahwin, polis cari dua suspek

MELAKA – Polis mengesahkan pemandu bas ekspres berusia 36 tahun yang tular memandu sambil seorang wanita duduk atas ribanya sudah berkahwin dan wanita terbabit dipercayai merupakan kenalannya.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pihaknya juga masih memburu kedua-dua suspek yang dipercayai melakukan perbuatan itu di kawasan susur masuk R&R Bemban, Jasin arah selatan kira-kira jam 7.30 malam Ahad lalu.

“Setakat ini, kita masih cuba mengesan kedua-dua suspek namun siasatan awal mendapati, pemandu bas berusia 36 tahun itu sudah berkahwin.

“Bagaimanapun, umur dan status perkahwinan kenalan wanita yang diribanya itu masih dalam siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika kejadian Ahad lalu, bas berkenaan dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Larkin, Johor Bahru.

Mengulas lanjut, Lee berkata, terdahulu, polis mengesan video kejadian berdurasi 8 saat yang tular pada jam 5.30 petang semalam sebelum siasatan mendapati kejadian berlaku ketika bas sedang bergerak di Lebuh Raya Utara Selatan dalam daerah Jasin.

“Perbuatan ini amat berbahaya kerana boleh menjejaskan kawalan kenderaan, mengganggu tumpuan pemandu serta membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.

“Sehubungan itu, polis meminta pemandu bas dan wanita yang terlibat agar tampil segera ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jasin bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian turut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Marwan Shafiq Mohd Latfi di talian 011-11127533.

“Mereka juga boleh hadir ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu pihak polis dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan perbuatan berisiko tinggi sehingga mengancam nyawa,” tegasnya. – MalaysiaGazette