PASIR MAS: Polis mengesahkan semua 34 pelajar dan murid yang ditahan selepas merentas sempadan secara haram
pagi semalam dibebaskan dengan jaminan polis lewat malam tadi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata semua mereka berusia tujuh hingga 16 tahun dibebaskan selepas pihak polis selesai mengambil keterangan.
“Kita mengambil keterangan sebagaimana mengikut prosedur yang ditetapkan dan pada masa sama memberi taklimat kepada pelajar dan murid bahawa tindakan mereka adalah salah dan menyalahi undang-undang.
“Semua mereka dibebaskan lewat malam tadi. Proses mengambil masa memandangkan jumlah pelajar yang ramai.
“Ibu bapa dan saudara mara mereka dibenarkan membawa anak mereka pulang lewat malam tadi,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, media melaporkan seramai 34 pelajar dan murid dari Thailand ditahan ketika melakukan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram Jambu untuk ke sekolah di Rantau Panjang pagi semalam.
Semua mereka ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) jam 6.30 pagi di pangkalan haram Jambu.
Mereka adalah warga Malaysia namun tinggal di Thailand dan bersekolah di Rantau Panjang.

