Pertolongan kerajaan perlu lebih cepat daripada ah long

Belalang teringat satu iklan lama, “Kami bukan along, kami cuma nak tolong.” Pesanan oleh Kementerian Belia dan Sukan itu memang berbekas di dalam ingatan ketika pihak berkuasa mahu orang ramai, termasuk usahawan kecil dan sederhana meminjam mengikut saluran yang betul, bukannya mencari jalan pintas dengan sindiket peminjam tidak berlesen yang menyebabkan mereka boleh menyesal di kemudian hari.

Sekarang dengan ekonomi semakin sukar, Belalang yakin sindiket terbabit licik dan cepat memasang lukah yang tidak lagi dengan menampal iklan haram di tiang elektrik, perhentian bas dan dinding kedai, sebaliknya media sosial dan laman web. Sesiapa yang terjerat akan berdepan faedah melampau, ugutan tanpa henti, gangguan kepada keluarga termasuk rumah disimbah cat, malah tidak mustahil ahli keluarga boleh diculik.

Memang polis meningkatkan penguatkuasaan, tetapi kerajaan kena pastikan ekosistem kewangan tidak menyebabkan individu mahupun usahawan menyerah leher kepada sindiket ah long. Selagi pinjaman sah sukar dicapai atau bantuan payah nak dipohon, maka sindiket itu akan terus hidup. Kempen yang lebih interaktif dan menarik juga perlu dibuat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat.