Trump akui ‘perbincangan sangat baik’ sedang berlangsung dengan Iran

ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, berkata bahawa AS sedang mengadakan ‘perbincangan yang sangat baik’ dengan Iran, lapor Anadolu Ajansi.

“Kami sedang mengadakan perbincangan yang sangat baik. Ia berjalan dengan sangat lancar.

“Mereka tidak mempunyai tentera laut, mereka tidak mempunyai tentera udara, mereka tidak mempunyai pemimpin. Mereka tidak mempunyai apa-apa.

“Sebenarnya… ia adalah pertukaran rejim. Anda boleh panggil ia pertukaran rejim secara paksa, tetapi kami sedang berbincang dengan mereka.

“Kami sedang bercakap dengan mereka… kami mengambil pendirian yang tegas,” kata Trump di Pejabat Oval.

Tambah beliau, pihaknya akan mendapat maklumat menjelang akhir hari ini, merujuk kepada rundingan yang sedang berlangsung dengan Iran.

Selepas menamatkan ucapannya, Trump tidak menerima sebarang soalan berkaitan konflik dengan Iran, rundingan, atau situasi di Selat Hormuz.

Ketegangan semakin memuncak sejak serangan AS dan Israel ke atas Iran bermula pada 28 Februari lalu, dengan Tehran bertindak balas melalui serangan dron dan peluru berpandu berulang kali yang menyasarkan Israel serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.

Peperangan berkenaan telah ditangguhkan sejak 8 April lalu, selepas Pakistan menjadi perantara bagi gencatan senjata selama dua minggu.

Washington dan Tehran telah mengadakan rundingan di Pakistan pada hujung minggu lalu dan usaha untuk mengadakan satu lagi sesi rundingan di Islamabad sedang dijalankan.

Dalam perkembangan lain, Trump turut menandatangani perintah eksekutif yang menurut beliau ‘mengarahkan FDA (Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS) untuk mempercepatkan semakan mereka terhadap bahan psikadelik tertentu yang telah ditetapkan sebagai ubat terapi yang berjaya’.

“Perintah ini akan ‘menghapuskan halangan birokrasi yang tidak perlu, menambah baik perkongsian data antara FDA dan Jabatan Hal Ehwal Veteran, serta memudahkan penjadualan semula segera mana-mana ubat psikadelik yang mendapat kelulusan FDA,” katanya.