Hizbulah nafi terbabit dalam serangan maut ke atas pasukan pengaman PBB di selatan Lubnan

BEIRUT: Hizbullah semalam menafikan sebarang pembabitan dalam kes membabitkan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di selatan Lubnan yang mengorbankan seorang anggota pasukan pengaman dari Perancis, lapor Xinhua.

Dalam satu kenyataan, Hizbullah menggesa semua pihak ‘berwaspada dalam menuding jari dan meletakkan tanggungjawab’ sehingga siasatan Tentera Lubnan menjelaskan perkara sebenar mengenai tragedi itu.

Kumpulan itu turut menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara penduduk tempatan, UNIFIL dan Tentera Lubnan.

Terdahulu pada hari yang sama, UNIFIL memaklumkan bahawa seorang anggota pasukan pengaman Perancis yang berkhidmat dengan pasukan PBB maut manakala tiga lagi cedera selepas mereka ditembak dengan senjata ringan di Kampung Ghandourieh di selatan Lubnan ketika dalam rondaan.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menerusi platform X berkata ‘segala petunjuk menunjukkan’ serangan itu adalah tanggungjawab Hizbullah dan menyeru pihak berkuasa Lubnan untuk segera menahan pihak yang bertanggungjawab.