Dua beradik maut nahas tiga kenderaan

BATU PAHAT – Seorang lelaki dan adiknya maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 36.7, Jalan Batu Pahat-Kluang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, Fazli Yuzaini, 30, dan adiknya Irfan Helmi Zainal Abideen, 20, maut di lokasi kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Lalang pada pukul 4.20 petang.

Dua lagi adik Fazli iaitu Azrul Nizam, 29, dan Zul Fahmi, 25, mengalami kecederaan di kepala dan kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

“Siasatan awal mendapati empat adik-beradik itu dalam perjalanan dari arah Kluang menuju ke Ayer Hitam dengan menaiki kereta Toyota Vios yang dipandu oleh Azrul Nizam.

“Ketika sampai di lokasi, keadaan hujan lebat telah menyebabkan pemandunya hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Proton Saga dan Volvo XC99,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat pertembungan itu, Fazli Yuzaini dan Irfan Helmi yang duduk di bahagian penumpang belakang berada dalam keadaan tersepit di tempat duduk masing-masing dan cedera parah di kepala.

Menurut Shahrulanuar, kedua-dua adik beradik itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang turut berada di lokasi kejadian.

Tambahnya, pemandu kereta Proton Saga, seorang wanita berusia 42, cedera di bahagian kaki kanan manakala pemandu Volvo XC99 seorang lelaki berusia 35 tahun serta isterinya berumur 34 tahun yang datang dari arah Ayer Hitam tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses bedah siasat dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan I Ramli Said berkata, terdapat dua mangsa tersepit dalam kemalangan tersebut.

“Bagi kenderaan Toyota Vios, terdapat empat mangsa iaitu dua lelaki disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) manakala dua lagi lelaki mengalami kecederaan parah.

“Dua mangsa yang maut didapati tersepit dan anggota bomba bertindak mengeluarkan mereka menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.37 petang,” katanya.- MalaysiaGazette