KOTA TINGGI – Seorang pekebun warga emas ditahan reman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan kes dua lelaki dan seorang wanita warga Vietnam mati ditembak depan sebuah restoran di bandar ini semalam.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar bagi siasatan lanjut bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek yang berusia 71 tahun tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 9 pagi dengan tangan bergari.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Kota Tinggi menerima maklumat berkenaan kejadian itu pukul 1.30 petang.
Katanya, siasatan mendapati dua lelaki dan seorang wanita warga asing berusia 37 hingga 63 tahun maut ditembak dengan menggunakan senjata api jenis shotgun di restoran berkenaan.
“Ketiga-tiganya maut di tempat kejadian. Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dan Bahagian D9 Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) membuat satu tangkapan pada pukul 2 petang.
Pihaknya turut membuat rampasan selaras senjata api jenis shotgun buatan Benelli M Super yang dipercayai digunakan untuk menembak mangsa dalam kes berkenaan.
Katanya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan senjata api dimiliki lelaki itu mempunyai kelulusan lesen yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jelasnya, siasatan lanjut dijalankan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh, jika sabit kesalahan boleh dipenjara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, boleh disebat 12 kali.“Setakat ini motif pembunuhan masih dalam siasatan. Bagaimanapun berdasarkan siasatan awal kejadian yang berlaku tidak melibatkan elemen kongsi gelap dan unsur-unsur keganasan.
“Pihak polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan berpunca daripada masalah hutang peribadi,” katanya.- MalaysiaGazette

