BUTTERWORTH – Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah menggunakan parang terhadap seorang lelaki pada 12 April lalu.
Tertuduh, Mohamad Arif Abdul Razak, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Muhammad Arif Othman, 30, menggunakan sebilah parang di sebuah bengkel kenderaan di Telok Ayer Tawar di sini pukul 8.50 malam pada 12 April lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah jaminan dikurangkan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang lagi mangsa.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohamad Safreen Baharuddin, 39, menggunakan sebilah parang di lokasi, tarikh dan masa sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 serta syarat tambahan dilarang mengganggu saksi serta mangsa sehingga kes selesai.
Kedua-dua kes akan disebut semula pada 20 Mei depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menetak dua lelaki.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam itu, suspek dikatakan menyerang mekanik berusia 30 tahun menggunakan parang sehingga menyebabkan mangsa hampir putus tangan kiri, manakala seorang lagi lelaki berusia 38 tahun yang cuba membantu turut cedera ringan.
Difahamkan mangsa parah itu kini stabil namun masih menerima rawatan di hospital. – MalaysiaGazette

