Raja Charles III beri penghormatan sempena ulang tahun ke-100 Ratu Elizabeth II

LONDON: Raja Britain, Raja Charles III menzahirkan penghormatan penuh emosi kepada ibunya, mendiang Ratu Elizabeth II menerusi satu mesej video bagi memperingati ulang tahun kelahirannya yang ke-100, pada hari ini, jika baginda masih hidup.

Penghormatan menyentuh hati itu disampaikan ketika pelan induk akhir bagi tugu peringatan monarki paling lama memerintah negara itu didedahkan.

Merujuk Elizabeth sebagai ‘mama tersayang’, Charles, 77, berkata ibunya ‘kekal teguh, konsisten dan sangat berdedikasi kepada rakyat’ sepanjang hayatnya.

Mendiang Ratu Elizabeth mangkat pada usia 96 tahun pada September 2022 selepas memerintah selama 70 tahun.

“Banyak perkara yang kita lalui sekarang, saya percaya mungkin amat merisaukan beliau.

“Namun saya berpegang kepada keyakinannya bahawa kebaikan akan sentiasa menang dan masa depan yang lebih cerah sedia menanti.

“Seperti yang pernah diungkapkan Puteri Elizabeth ketika ucapan pertamanya pada usia 14 tahun, kita masing-masing boleh memainkan peranan ‘untuk menjadikan dunia hari esok lebih baik dan bahagia’.

“Ia adalah kepercayaan yang saya kongsi dengan sepenuh hati,” katanya.

Tugu peringatan kepada mendiang Ratu Elizabeth itu akan menampilkan patung oleh pengukir Martin Jennings yang menggambarkan beliau sebagai seorang wanita muda berpakaian jubah istiadat.

Patung gangsa itu diilhamkan daripada potret terkenal karya artis Itali, Pietro Annigoni, yang dihasilkan pada 1955.

Pada penghujung 1954, ketika Ratu Elizabeth II berusia 28 tahun dan baru beberapa tahun memerintah, Annigoni pernah melukis potretnya.

Bekas setiausaha peribadinya, Robin Janvrin yang juga pengerusi jawatankuasa projek tugu peringatan itu, menyifatkan potret berkenaan sebagai ‘imej indah dan ikonik Ratu Elizabeth ketika zaman mudanya’.

Gabungan patung dan tapak asas itu dijangka setinggi 7.3 meter dan berada di pintu masuk tugu peringatan di Taman St James, berhampiran Istana Buckingham.

Di kawasan tugu peringatan itu akan turut disediakan taman keluarga selain jambatan kaca perpaduan yang lutsinar, inspirasi daripada tiara perkahwinan Elizabeth.

Selain itu, patung kecil suaminya, Putera Philip akan turut diabadikan di kawasan itu. Patung terbabit menampilkan Putera Philip berpakaian uniform tentera laut sambil memandang ke arah isterinya.

Charles dan ahli keluarga diraja lain akan melihat sendiri model patung yang dirancang serta skala tugu peringatan itu dalam lawatan ke Muzium British hari ini.

Elizabeth yang dilahirkan pada 21 April 1926 tidak dijangka akan menjadi ratu.

Perubahan sejarah menyebabkan beliau menaiki takhta selepas bapa saudaranya, Edward VIII, turun takhta untuk berkahwin dengan Wallis Simpson, seorang janda dari Amerika Syarikat (AS) pada 1936.

Selepas peristiwa itu, bapanya yang enggan menjadi Raja dan mengalami masalah gagap, ditabalkan sebagai Raja George VI.

Namun, kemangkatan baginda pada 1952 menyaksikan puteri muda itu menaiki takhta pada usia 25 tahun, sekali gus memulakan pemerintahan.

Baginda menduduki takhta diraja sejak tahun 1952, tempoh paling lama pernah direkodkan dalam mana-mana sistem monarki di dunia. – AFP