KAHERAH: Serangan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin dalam beberapa kes berasingan di Semenanjung Gaza, menurut pegawai kesihatan Palestin.
Dalam pada itu, menurut saksi, pejuang Hamas bertempur dengan lelaki bersenjata daripada pasukan militia yang disokong Israel.
Petugas perubatan berkata, seorang lelaki terbunuh dalam serangan udara Israel di kem Bureij, di kawasan tengah wilayah itu, manakala dalam satu serangan lain di Gaza City, seorang individu terkorban manakala beberapa mangsa lain cedera.
Semalam, menurut pegawai kesihatan di Hospital Nasser di wilayah berkenaan,
satu lagi serangan udara oleh Israel mengorbankan sekurang-kurangnya tiga individu di bahagian barat Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza.
Lima kematian itu adalah keganasan terbaharu yang mencemari perjanjian gencatan senjata diusahakan Amerika Syarikat (AS) dan dimeterai Oktober lalu selepas dua tahun perang besar antara Israel dan Hamas.
Kemajuan terhadap beberapa aspek perjanjian itu tergendala termasuk pelucutan senjata Hamas serta pengunduran tentera Israel.
Setakat ini, tentera Israel belum memberikan sebarang komen berhubung kedua-dua serangan terbabit.
Gencatan senjata yang bermula pada Oktober lalu menyaksikan tentera Israel terus menguasai zon yang hampir tidak berpenghuni, merangkumi lebih separuh daripada Gaza, manakala Hamas mengawal jalur pantai.
Sejak perjanjian gencatan senjata itu berkuat kuasa, menurut petugas perubatan tempatan, lebih 750 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh, manakala Israel menyatakan kumpulan militan telah membunuh empat tenteranya.
Israel dan Hamas saling menuding jari berhubung pelanggaran gencatan senjata.

Israel memberitahu, sasarannya adalah menggagalkan serangan Hamas dan kumpulan militan lain.
Semalam, penduduk serta sumber yang rapat dengan Hamas berkata, anggota militia yang disokong Israel dan beroperasi di kawasan di bawah kawalan Israel, bertempur dengan pejuang Palestin selepas menceroboh masuk ke kawasan yang dikuasai Hamas di timur Khan Younis.
Ketika anggota militia itu cuba berundur, seorang pejuang Hamas melepaskan bom tangan anti-kereta kebal ke arah kenderaan mereka, kata beberapa penduduk dan sumber Hamas.
Satu letupan kedengaran, namun tiada maklumat mengenai sebarang kemalangan jiwa.
Satu video yang disahkan Reuters menunjukkan lelaki bersenjata, dipercayai anggota militia, berpakaian seragam hitam dan memegang senapang, tiba di kawasan yang dikuasai Hamas di timur Khan Younis sebelum kedengaran bunyi tembakan.
Dalam satu lagi video yang tidak dapat disahkan oleh Reuters, ketua kumpulan bersenjata yang menceroboh masuk ke wilayah dikuasai Hamas berkata, anggotanya sedang mengagihkan makanan dan rokok kepada penduduk Khan Younis apabila pejuang Hamas melepaskan tembakan ke arah mereka.
Alastal berkata, seorang daripada anggotanya terbunuh dan beliau mengancam Hamas yang melabel kumpulan miliknya sebagai rakan subahat Israel dengan lebih banyak pencerobohan yang bertujuan merampas wilayah.
Seorang pegawai keselamatan Hamas berkata, pejuang mereka berdepan lelaki bersenjata di Alastal selepas mereka menyerbu kawasan awam di timur Khan Younis, sekali gus membahayakan nyawa keluarga yang dipindahkan.
Kemunculan kumpulan sedemikian walaupun masih dalam kelompok kecil dan terhad di kawasan tertentu, menambah tekanan terhadap Hamas serta berpotensi merumitkan usaha menstabilkan dan menyatukan Gaza yang kini berpecah-belah dan musnah.
Kumpulan militia terbabit kekal tidak popular kerana dilihat beroperasi di bawah kawalan Israel. – REUTERS

