LONDON: Arsenal mungkin tewas dalam pertembungan di Manchester hujung minggu lalu, namun analisis data Opta masih meletakkan skuad Mikel Arteta sebagai pilihan utama untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Manchester City merapatkan jurang kepada hanya tiga mata selepas menang 2-1 di Etihad menerusi jaringan Rayan Cherki dan Erling Haaland, sekali gus mengekalkan tekanan dalam perebutan gelaran.
Walaupun kemenangan itu memberi keyakinan kepada pasukan Pep Guardiola, superkomputer Opta masih mengubah sedikit angka tetapi kekal memihak kepada Arsenal.
Sebelum perlawanan, Arsenal diberi peluang 85.2 peratus untuk muncul juara berbanding City hanya 14.8 peratus.
Selepas keputusan itu, peluang Arsenal kini 73 peratus untuk memenangi kejuaraan pertama mereka sejak 2004, manakala City meningkat kepada 27 peratus.
Ini disebabkan City masih mempunyai baki satu perlawanan, namun jadual mereka dianggap lebih mencabar berbanding Arsenal.
Arsenal akan berdepan lima perlawanan terakhir menentang pasukan di separuh bawah liga, manakala City perlu berdepan Everton, Bournemouth dan Aston Villa yang masih memburu slot ke saingan Eropah.
Secara teori, walaupun kedua-dua pasukan menang semua baki perlawanan, Arsenal masih berpeluang meraih kejuaraan menerusi perbezaan gol.
Legenda Arsenal, Lauren turut percaya bekas kelabnya mampu mengekalkan momentum untuk muncul juara.
Dalam pada itu, suasana di satu lagi kelab di bahagian utara London terus suram apabila Tottenham Hotspur semakin terperosok dalam zon penyingkiran.
Spurs kini mempunyai kebarangkalian 56.58 peratus untuk tersingkir ke Liga Kejuaraan, meningkat daripada 49.1 peratus selepas keputusan seri 2-2 menentang Brighton.
Kemenangan Nottingham Forest 4-1 ke atas Burnley turut memburukkan keadaan Tottenham, manakala West Ham pula seri 0-0 dengan Crystal Palace awal pagi tadi.
Tottenham masih perlu berdepan perlawanan sukar termasuk di Villa Park dan Stamford Bridge sebelum musim berakhir. – AGENSI

