Kes seleweng dana zakat: Timbalan Pengerusi NGO antara 2 individu direman 4 hari

SHAH ALAM – Dua individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) direman empat hari di Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan berhubung kes menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

Perintah reman sehingga 25 April ini terhadap kedua-dua lelaki berusia 57 dan 61 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Ameera Mastura selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Terdahulu, mereka yang memakai baju lokap SPRM dengan tangan bergari, dibawa oleh sepasukan pegawai SPRM Cawangan Selangor pada pukul 9.11 pagi dilihat cuba mengelak dirakam sekumpulan petugas media yang menunggu sejak awal pagi.

Kedua-dua individu terbabit diwakili peguam, Mohd Razlan Jalaludin, Ashwida Abd Samad dan Muhammad Ridhwan Jalaludin.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli mengesahkan reman berkenaan terhadap kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009.

Semalam media melaporkan, seorang timbalan pengerusi sebuah NGO antara tiga individu ditahan SPRM kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

Difahamkan, dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an ditahan antara pukul 3 hingga 5 petang dalam operasi sekitar Lembah Klang, manakala seorang lagi berusia 50-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor kira-kira pukul 2 petang.

Siasatan awal dalam kes itu mendapati kesemua suspek, dua daripadanya adalah pengarah syarikat, disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2018 hingga 2024.

Timbalan pengerusi NGO terbabit juga dikatakan sudah memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan bagi tujuan peribadi.

Siasatan SPRM kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO berkenaan adalah sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan membantu golongan memerlukan. – MalaysiaGazette