Salah guna kuasa, seleweng RM12.3 juta dana NGO: Pendakwah bebas direman 5 hari

Kuala Lumpur: Pendakwah bebas ditahan kerana disyaki menyalah guna kuasa dan menyeleweng dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditempatnya bekerja berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.

Perintah reman selama lima hari sehingga 26 April 2026 terhadap suspek dikeluarkan Majistret Sara Afiqah Zulkifli selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Seremban pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.

“Siasatan awal mendapati suspek yang juga pengerusi NGO terbabit disyaki melakukan perbuatan itu pada September 2022 hingga kini.

“Suspek dipercayai menyalahgunakan jawatannya dan bersubahat bersama dua ahli jawatankuasa yang lain dengan memindahkan wang berjumlah kira-kira RM12.3 juta ke dalam akaun bank miliknya dan lapan lagi syarikat yang juga miliknya,” katanya.

Sumber berkata, susulan siasatan itu, SPRM Negeri Sembilan membekukan 15 akaun yang terdiri daripada tiga akaun bank persendirian, tiga akaun bank NGO dan sembilan akaun bank syarikat dengan nilai berjumlah kira-kira RM16.5 juta.

Selain itu, turut disita ialah wang tunai yang terdiri daripada RM6,576; mata wang asing Riyal 95,568; Singapore Dollar SGD 795; tiga unit jam tangan bernilai kira-kira RM5,000; tigaunit beg tangan berjumlah kira-kira RM3,000; lima unit gelang tangan berjumlah kira-kira RM26,000; sebentuk cincin berjumlah kira-kira RM2,000; satu unit rantai berjumlah kira-kira RM7,000; dan 51 keping emas seberat 1 gram berjumlah kira-kira RM31,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.