MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand R Marcos Jr, mengarahkan tindak balas menyeluruh kerajaan bagi membantu komuniti yang terjejas akibat hujan abu susulan aktiviti berterusan Gunung Berapi Mayon di wilayah Albay, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Dalam satu kenyataan, semalam, Malacanang memaklumkan arahan itu merangkumi mobilisasi segera agensi utama bagi melindungi kesihatan awam, memastikan keselamatan serta mengekalkan akses kepada perkhidmatan penting di kawasan terjejas, khususnya di perbandaran Guinobatan dan Camalig.
Jabatan Kerja Raya dan Lebuh Raya memulakan operasi pembersihan bagi mengalihkan abu gunung berapi dari jalan utama bagi memastikan laluan selamat kepada penduduk serta pasukan penyelamat.
Jabatan Kesihatan pula mula mengagihkan pelitup muka N95 serta mengerahkan klinik bergerak dan stesen air bagi menangani penyakit pernafasan termasuk batuk, kesukaran bernafas serta kerengsaan mata akibat hujan abu.
Melalui Jabatan Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan, anggota Biro Perlindungan Kebakaran dikerah menjalankan operasi semburan air serta pembersihan abu.
Usaha pemindahan dilaksanakan bawah Pejabat Pertahanan Awam serta Majlis Pengurangan Risiko Bencana dan Pengurusan Negara, dengan pihak berkuasa memantau rapi zon berisiko tinggi di sekitar gunung berapi itu.
Jabatan Kebajikan Sosial dan Pembangunan menempatkan lebih awal ribuan pek makanan, makanan sedia dimakan serta bekalan bantuan lain untuk keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan seluruh wilayah Bicol.
Pihak berkuasa turut memantau sungai dan laluan air bagi kemungkinan aliran lahar, terutama sekiranya hujan lebat berlaku.
Gunung Berapi Mayon – antara gunung berapi paling aktif di negara ini – terkenal dengan bentuk kon hampir sempurna tetapi mempunyai sejarah letusan mengejut yang boleh mencetuskan hujan abu serta aliran lava dan lumpur berbahaya.
Gunung berapi itu terus menunjukkan tanda peningkatan aktiviti magmatik dengan 32 gempa gunung berapi direkodkan pada Sabtu lalu, termasuk 25 gegaran gunung berapi yang berlangsung antara dua hingga 15 minit, sehingga menjejaskan sekurang-kurangnya 50 kampung dari pelbagai bandar di Albay.
Penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan berada di dalam rumah, memakai pelitup muka dan mematuhi nasihat dikeluarkan pihak berkuasa tempatan ketika keadaan masih dipantau rapi.

