WASHINGTON: Dua anggota tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan hilang berhampiran bandar Tan-Tan di barat daya Maghribi, Sabtu lalu, selepas menyertai latihan ketenteraan tahunan pelbagai negara di negara itu, menurut Markas Pemerintahan Afrika AS (AFRICOM), semalam, lapor Xinhua.
“Kejadian itu masih dalam siasatan,” menurut AFRICOM dalam satu kenyataan sambil memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan.
Kedua-dua anggota tentera hilang itu adalah peserta African Lion, iaitu latihan bersama tahunan terbesar AFRICOM bertujuan ‘memperkukuh kebolehkendalian” antara pasukan AS, sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta negara rakan di Afrika, menurut Tentera Darat AS Eropah dan Afrika.
“Aset AS, Maghribi dan pihak lain yang terbabit African Lion segera memulakan operasi SAR secara bersepadu meliputi aset darat, udara serta maritim,” menurut AFRICOM.
Menurut kenyataan itu lagi, maklumat tambahan akan diberikan dari semasa ke semasa.
African Lion 2026 dianjurkan oleh Maghribi, Ghana, Senegal dan Tunisia.

