KUALA LUMPUR: “Kami singgah di sini bukan untuk pulang ke Kuala Lumpur, sebaliknya konsisten untuk meneruskan pelayaran menuju Gaza.”
Demikian tegas aktivis kemanusiaan dan wartawan veteran, Zainal Rashid Ahmad, sejurus tiba di Istanbul selepas dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis, kelmarin.
Zainal Rashid, atau lebih dikenali sebagai ZRA antara 10 rakyat Malaysia yang ditahan Pasukan Pertahanan Israel selepas kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dipintas secara agresif di perairan antarabangsa, Khamis lalu.
Menceritakan detik hitam itu, beliau menyifatkan layanan yang diterima sepanjang berada di bawah tahanan rejim adalah sangat buruk.
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan. Kami seramai 10 orang selamat tiba di Istanbul dalam keadaan sihat walaupun berdepan layanan buruk di atas kapal (rejim),” katanya menerusi satu rakaman video di Facebook.
Difahamkan, klip itu dirakam ketika beliau tiba di Istanbul semalam, selepas ditahan bersama 10 delegasi Malaysia dan 186 aktivis lain pada 30 April di perairan antarabangsa berhampiran Pulau Crete, Greece.
Beliau menyeru rakyat Malaysia untuk terus bersatu dalam soal Gaza dan sentiasa mengingati Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis.
Zainal turut mendesak Kerajaan Malaysia supaya segera menghantar nota bantahan kepada pihak berkaitan bagi menuntut pembebasan dua lagi pejuang kemanusiaan, as-Sayyid, yang masih ditahan.
“Beliau (as-Sayyid) berkemungkinan berdepan hukuman gantung jika tiada pembelaan dan pembebasan segera dilakukan. Ini pesanan kami untuk kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia agar terus bersatu dalam soal Gaza serta mengingati Masjidil Aqsa,” katanya.
Rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis sebelum ini termasuk Zainal Rashid (Arkham III); Osman Zolkifli dan Dr. Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1); Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai); Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN); Mohd Redzal Bin Amzah (Freia); serta Muhamad Muhsin Bin Zaidi (Marea).
Terdahulu, kerajaan Malaysia mengecam keras tindakan rejim Zionis yang memintas kapal bantuan tersebut di perairan antarabangsa kerana dianggap mencabul undang-undang maritim antarabangsa (UNCLOS).

