PDRM tumpas sindiket menyamar Polis Delhi perdaya mangsa di India, tahan 22 individu

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai Polis Delhi, India dan memperdaya warga negara itu di sana dalam serbuan di sebuah kediaman mewah di Cheras.

Polis menahan 22 individu dalam serbuan itu membabitkan warga asing dan tempatan hasil maklumat awam dan risikan pada 23 April lalu.

Sindiket itu mensasarkan mangsa di India dengan menyamar dan memakai seragam Polis Delhi dengan menghubungi mangsa menerusi panggilan video menyatakan mereka dikesan terbabit dengan penyebaran kandungan berunsur hasutan terhadap kerajaan India di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata polis menyerbu sebuah banglo pada jam 7 malam sebelum menahan dua lelaki warga Taiwan, 12 lelaki dan satu wanita warga Pakistan, empat lelaki dan dua wanita warga India serta seorang lelaki tempatan.

“Hasil pemeriksaan menemukan pakaian seragam polis, 49 unit telefon bimbit, dua komputer riba, satu iPad, satu router WiFi dan kunci rumah yang semuanya dianggarkan bernilai RM25,000,” katanya pada sideng media hari ini.

Rusdi berkata, mangsa di negara India, akan diarahkan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun yang diarahkan kononnya bagi tujuan siasatan serta mengelak dari dikenakan tindakan.

“Dalam operasi ini juga polis merampas 12 salinan skrip khas berbahasa Tamil, bagi memperdaya dan menakutkan mangsa dengan kes yang disiasat sehingga mangsa mengalami kerugian,” katanya

Beliau berkata, susulan siasatan itu, polis kemudian membebaskan lelaki warga tempatan dengan jaminan polis manakala 21 lagi warga asing ditahan semula di bawah Akta Imigresen sehingga 10 Mei ini.

JSJK turut bekerjasama dengan Kedutaan Besar India di Malaysia serta pihak berkuasa di India bagi melengkapkan siasatan kes ini.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.