BATU PAHAT – Kejadian seorang murid perempuan Tahun Dua maut dilanggar sebuah van depan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong di sini tengah hari tadi, berlaku selepas pemandunya selesai menghantar barang.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian berlaku pukul 12.30 tengah hari di hadapan pintu pagar utama hadapan SK tersebut.
ADVERTISEMENT
“Siasatan awal oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mendapati kejadian berlaku semasa van itu sedang bergerak keluar melalui pintu pagar utama sekolah.
“Semasa sedang bergerak keluar melalui pintu pagar utama sekolah untuk ke Jalan Simpang Lima Parit Sulong telah berlaku perlanggaran dengan mangsa yang sedang berjalan kaki di hadapan pintu pagar utama sekolah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Katanya, murid berkenaan yang berjalan kaki mengalami kecederaan di bahagian kepala dan organ dalaman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Parit Sulong.
Sementara itu, pemandu van iaitu seorang lelaki tempatan berumur 60 tahun katanya, tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pemandu van telah ditahan untuk siasatan lanjut dalam kes ini. Siasatan Polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu membahayakan,” katanya.
Terdahulu tular video kejadian tersebut yang memaparkan kejadian menimpa mangsa, Nur Aini Umairah Mohd Fareez yang sedang pulang dari sekolah.
Difahamkan sebelum kejadian mangsa baharu selesai sesi persekolahan sebelum bergerak keluar dari pintu pagar.
Pada masa sama van terbabit juga keluar dari pagar sekolah selepas menghantar barang, namun dikatakan tidak menyedari keberadaan mangsa.
Kejadian tersebut disaksikan beberapa ibu bapa yang kebetulan menunggu anak masing-masing pulang dari sekolah.
Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk bedah siasat. – MalaysiaGazette

